Pertembungan AMANAH, PAS beri kelebihan BN menang – Tun M

Pertembungan AMANAH, PAS beri kelebihan BN menang – Tun M

Dr Mahathir berkata beliau berharap rakyat berfikir apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat selama ini menghilangkan duit negara.

Mahathir-PAS-AMANAh-BN

KUALA LUMPUR:Pertembungan di antara AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah bekas perdana menteri itu berkata keadaan itu sekali gus membuka peluang kepada BN untuk kekal memerintah di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Kalau lebih daripada tiga penjuru (di PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar) memang BN boleh menanglah.

“Tetapi saya harap rakyat berfikir tentang apa yang Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) sudah buat selama ini yang menghilangkan duit negara berbilion ringgit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran buku ‘Perjuangan Tanpa Noktah & The Misunderstood Man’ di Saloma Bistro hari ini.

Mengulas mengenai kekuatan BN sekiranya parti itu dapat kekal memerintah, Mahathir berkata perkara itu biarlah rakyat yang menentukannya.

“Kalau rakyat nak BN ambillah,” katanya ketika ditanya jika BN menang di PRK tersebut akan menguatkan kembali sokongan rakyat pada parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pertandingan tiga penjuru di PRK Sungai Besar manakala empat penjuru di Kuala Kangsar di antara BN, PAS, AMANAH dan BEBAS.

Jadual mengundi bagi pengundi awal ditetapkan pada 14 Jun manakala proses pengundian biasa akan dijalankan pada 18 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.