Tun M akui wujud 300,000 tandatangan palsu Deklarasi Rakyat

Tun M akui wujud 300,000 tandatangan palsu Deklarasi Rakyat

Bagaimanapun, semua tandatangan palsu sudah dibuang.

mahathir-sign

KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui wujudnya pemalsuan tandatangan menyokong Deklarasi Rakyat bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak letak jawatan.

Katanya, tindakan pemalsuan tandatangan Deklarasi Rakyat itu sengaja dilakukan pihak tertentu secara terancang bagi menggagalkan usaha menjatuhkan Najib.

Bagaimanapun, katanya sekretariat Deklarasi Rakyat berjaya mengesan sebanyak 300,000 tandatangan palsu berjaya dibuang.

“Saya tahu ada usaha untuk menipu, ada yang tandatangan satu, ada tandatangan lima hingga enam yang kad pengenalan dia sama.

“Semua itu kita sudah buang dan hampir 300, 000 (borang Deklarasi Rakyat) yang terlibat dengan penipuan dan perkara itu dilakukan secara terancang dan kita tahu ada orang yang buat (rancang).

“Kita buang tandatangan palsu, namun lebih 1.2 juta tandatangan yang kita terima. Sepatutnya saya dapat 1 juta tandatangan sehingga hujung tahun tetapi jumlah itu dicapai setelah dua bulan ia dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran buku ‘Perjuangan Tanpa Noktah & The Misunderstood Man’ di sini hari ini.

Terdahulu,pengatur cara komputer bebas Azharuddin Othman mengaku terlibat dengan urus niaga menjual pangkalan data penduduk negara ini bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk keperluan projek Deklarasi Rakyat yang digerakkan Mahathir dan pakatan pembangkang.

Malah beliau mendakwa semua 1.2 juta tandatangan tersebut adalah palsu dan perlu disiasat pihak polis.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata lebih ramai lagi rakyat yang ingin menandatangani Deklarasi Rakyat, namun dihalang kerajaan pemerintah.

“Sebenarnya rakyat sokong dan nak tandatangan tetapi mereka ketakutan kepada pihak pemerintah kerana ada bertindak melakukan pemotongan BR1M, kerajaan akan kacau perniagaan dan lain-lain lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.