Mereka bukan lagi wakil rakyat, tetapi orang suruhan Najib – Mahathir
Mahathir mendakwa ada ahli UMNO yang mengakui disogok RM1 juta hingga RM2 juta yang menyebabkan mereka tidak mendedahkan jenayah yang berlaku.
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa mulut ahli-ahli UMNO telah disumbat dengan dedak yang menyebabkan mereka tidak dapat bersuara atau menegur presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.
Ini kerana kata bekas Perdana Menteri itu, ada ahli UMNO yang mengakui disogok RM1 juta hingga RM2 juta yang menyebabkan mereka tidak mendedahkan jenayah yang berlaku.
“Mereka mengia apa sahaja. Sesungguhnya mereka bukan lagi wakil rakyat yang (dipilih rakyat) tetapi sudah jadi orang suruhan Najib. Dasar dan perjuangan parti tidak lagi menjadi tanggungjawab mereka.
“Demikian juga dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian. Mereka tidak ada suara lagi setelah melihat seorang naib ketua bahagian yang menegur presiden dipanggil oleh polis, disoal, dimasukkan dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya menerusi catatan terbaru beliau di blog chedet.cc. hari ini.
Tambahnya, apabila ada pemimpin yang menyeleweng, perlembagaan negara ini memberi hak kepada wakil rakyat untuk membuat undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat.
“Tetapi kerana dedak dan berbagai jenis tekanan, selain daripada dua orang ahli UMNO, ahli-ahli UMNO yang lain dan BN tidak berani menyokong usul tidak percaya jika diusulkan.
“Rakyat kehilangan suara secara menyeluruh. Semua peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang berkenaan kebebasan bersuara sudah dibatalkan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Melapor kepada polis berkenaan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin juga bukan sahaja tidak berkesan tetapi yang melapor sendiri dimasuk dalam tahanan,” katanya.