Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kenapa sewa sedangkan boleh guna jet kerajaan, soal Rafizi

 | June 15, 2016

Menurutnya, dua jet peribadi milik kerajaan boleh digunakan untuk Rosmah ke Istanbul

VIDEO INSIDE

rafizi-a6-cje

KUALA KANGSAR: Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli kembali ke sini hari ini, dalam siri dakwaan berhubung jet peribadi yang digunakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk ke Istanbul 27 Mei lalu.

Dalam sidang media hari ini, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan menyewa jet Emirates A6-CJE, sedangkan kerajaan sudah memiliki dua buah jet yang boleh digunakan untuk tujuan itu.

Sebuah lagi jet peribadi milik kerajaan iaitu ACJ320 dimaklumkan sedang disenggara untuk beberapa bulan, katanya.

Menurut semakannya, Rafizi berkata dua buah jet yang boleh digunakan tersebut – ACJ319 (no. pendaftaran 9M-NAA) dan BBJ737-700 (no. pendaftaran M53-01) – tidak digunakan pada tarikh itu.

Bagi tempoh itu, katanya lagi, rekod penerbangan kapal terbang BBJ737-700 menunjukkan ia hanya digunakan pada 17 Mei dan 30 Mei 2016.

“Rekod mengesahkan bahawa ia tidak digunakan di antara 17 hingga 30 Mei 2016,” katanya.

Bagi kapal terbang ACJ319 pula, beliau mendakwa rekod penerbangan antara 24 hingga 29 Mei hanya melibatkan penerbangan domestik – pergi balik dari Subang ke Alor Setar atau Subang ke Pekan/Pahang.

“Ini bermakna semua penerbangan ini boleh dibuat menggunakan BBJ737-700 yang tidak digunakan, seterusnya membolehkan ACJ319 yang lebih baru dan memang untuk penerbangan antarabangsa Perdana Menteri digunakan oleh Datin Seri Rosmah.”

“Ini semua tentang ‘common sense’ dan penjadualan. Ia mampu menyelamatkan berjuta wang rakyat,” katanya lagi.

Dalam beberapa sidang media sebelum ini, Rafizi antara lain mendakwa kerajaan membelanjakan sehingga RM86 juta bagi menyewa jet tersebut.

Pegawai Khas Isteri Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor pula mewajarkan tindakan menyewa itu dengan berkata Rosmah memiliki jadual yang padat.

Kata nak jual, tapi masih guna

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pandan itu turut mempersoalkan mengapa jet BBJ737-700 masih dalam pemilikan, sedangkan kerajaan sebelum ini berkata mahu menjualnya ketika membeli jet ACJ320 tahun lalu.

“Ketika saya mendedahkan pembelian jet baru ACJ320 sekitar Mac 2015 yang menimbulkan kemarahan rakyat, alasan utama kerajaan adalah ia bagi menggantikan BBJ737-700 yang dikatakan sudah lama dan tidak sesuai digunakan,” katanya.

Katanya lagi, Bahagian Kewangan Kementerian Kewangan pada Ogos 2015 mengeluarkan iklan bidaan untuk menjualnya, namun sehingga kini tidak ada pengesahan sama ada ia telah dijual.

Namun katanya lagi, jet tersebut masih lagi digunakan dan memakai nombor pendaftaran sama iaitu M53-01.

Beliau memaklumkan nombor pendaftaran sesebuah kapal terbang akan bertukar apabila ia bertukar hak milik.

“Jadi saya nak tanya Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kapal terbang – memandangkan kapal terbang kerajaan diuruskan Jabatan Perdana Menteri – kenapa jet BBJ737-700 ini masih belum dijual seperti yang dikatakan dulu,” soalnya.

Sebelum sidang media bermula, keadaan di luar pejabat Amanah kecoh seketika apabila Rizal datang ‘tanpa diundang’ dan dihalang petugas Amanah daripada menyertai sidang media.

Dihalang daripada beri penjelasan

Sementara itu, Rizal ketika dihubungi FMT melahirkan rasa terkejut kehadirannya ke sidang media Rafizi tidak dialu-alukan.

Jelasnya, beliau ketika itu menyangkakan akan diberi ruang untuk menjelaskan isu berbangkit kepada Rafizi dan media yang hadir secara berdepan namun dihalang oleh petugas parti pembangkang.

“Saya hadir sidang media Rafizi hari ini untuk menjelaskan keadaan yang sebenar kepada dia, depan-depan dia. Tapi dia tak benarkan saya masuk, dan asyik ulang benda yang tak betul. Takut nak berdepan dengan kebenaran?

“Saya dah jawab tempoh hari bahawa pesawat kerajaan sedia ada sedang diselenggara, dan kebetulan Datin Seri Rosmah guna dulu (pesawat yang disewa),” katanya.

Selepas kejadian ini, beliau menganggap Rafizi memerlukan Rosmah demi populariti di arena politik.

“Dia terpaksa main isu yang menggaitkan nama Datin Seri Rosmah. Kalau tak sebut nama Datin Seri Rosmah agaknya nama dia tenggelam,” ujarnya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments