Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kelulusan kerajaan untuk memberi peruntukan membina jambatan itu bukanlah untuk pilihan raya, sebaliknya untuk menunaikan impian bekas ahli Parlimen kawasan itu, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
“Ini bukan projek pilihan raya. Yang pasti projek ini apa yang kita dijanjikan oleh PM dan yang diharapkan oleh arwah, calon BN serta pemimpin setempat untuk kebajikan penduduk di Manong,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Manong, siang tadi.
Menurut Fadillah, jambatan itu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta bagi membina jambatan itu yang menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong, berhampiran Kuala Kangsar.
“Kita buat gunakan tujuh tiang untuk tampung kekuatan jambatan tersebut.
“Diharap jambatan ini dapat dimanfaatkan pengguna dan orang ramai. Perundingan setempat dilakukan dan kajian mendalam akan dilaksanakan dan selewat-lewatnya Mac tahun depan kerja akan bermula,” kata Fadillah.
