Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, kekalahan Amanah di kerusi Parlimen Kuala Kangsar adalah petanda rakyat mahu gabungan parti pembangkang yang benar-benar kukuh.
“Masih ada masa untuk baiki. Kita akan buat kajian semula mengenai keputusan ini.
“Kita selalu terbuka untuk buat perbincangan dengan PAS,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Amanah Perak sejurus keputusan PRK Kuala Kangsar diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.
Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming turut senada dengan Salahuddin untuk mengajak PAS kembali ke meja rundingan bersama PH.
Ini kerana jelasnya, pertandingan empat penjuru jelas memberi kesan kepada pembangkang untuk menewaskan BN.
“PAS kena pergi rundingan dengan PH. Jika PAS tak nak kalah perlu elak pertandingan empat penjuru. Kita sentiasa terbuka, tetapi PAS perlu ikhlas,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming turut mendakwa 300 penyokong setia DAP yang berhasrat mengundi calon Amanah telah dipindahkan ke kawasan Parlimen Padang Rengas.
Penolong Bendahari Kebangsaan DAP itu mendakwa tindakan tidak adil SPR itu adalah salah satu sebab undi PH berkurangan.
Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid berjaya menundukkan tiga pencabar lain dengan majoriti besar iaitu 6,969 undi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan Mastura memperolehi 12,653 undi berbanding calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad yang meraih 5,684 undi; calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang mendapat 4,883 undi serta calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary sekadar mendapat 54 undi dan hilang wang depositnya.
Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad memenangi PRU13 di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 undi, selepas meraih 14,218 undi berbanding calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah (13,136 undi) dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim (447 undi).
