Kafir harbi: PKR gesa polis siasat mufti Pahang

Kafir harbi: PKR gesa polis siasat mufti Pahang

Menurut Wan Ji, kenyataan Mufti Pahang itu sama dengan amalan kumpulan militan IS yang sering melontarkan label anti-Islam.

wan-ji-mufti-pahang
KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda PKR hari ini membuat laporan polis terhadap Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung kenyataannya melabel DAP sebagai kafir harbi kerana menentang hukum Islam.

Laporan tersebut dibuat Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama sayap itu, Wan Ji Wan Hussin, di IPD Dang Wangi, pagi tadi.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Rahman amat merbahaya dan boleh membawa kepada keganasan.

“Kenyataan mufti Pahang sama dengan amalan (kumpulan militan) IS, yang biasa melabel mereka yang berbeza fahaman sebagai anti-Islam dan kafir harbi. Kami yang cintakan keamanan tidak mahu elemen IS berlaku di Malaysia.

“Polis perlu melihat perkara ini dengan serius. Jika ia (amalan IS) gagal ditangani di peringkat awal, kita bimbang ia akan merebak dengan lebih besar,” kata beliau selepas membuat laporan itu.

“Kafir harbi” bermaksud golongan bukan Islam yang memerangi orang Islam dan justeru dihalalkan memeranginya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia memetik Abdul Rahman sebagai berkata, DAP yang membantah RUU Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016 jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi orang Islam bekerjasama dengan parti itu.

Kenyataan itu dikecam pelbagai pihak sebagai “keterlaluan”.

Susulan kecaman yang diterimanya, Abdul Rahman menjelaskan kenyataannya itu tidak ditujukan kepada DAP secara khusus, sebaliknya kepada sesiapa sahaja yang menentang Islam.

Sebelum ini, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata warga bukan Islam tidak boleh dikategorikan kafir harbi kerana kewarganegaraan memberikan perlindungan kepada mereka.

Dalam pada itu, Wan Ji menyeru lebih ramai golongan agama, termasuk mufti negeri, bersuara membantah kenyataan Abdul Rahman.

“Pihak agamawan memandang berat kenyataan ini. Saya harap mufti lain mengambil tindakan yang sama seperti mufti Perlis ini,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng, yang turut menyertai sidang media hari ini, berharap pemimpin parti komponen BN dapat membawa perkara ini ke Kabinet.

“Saya harap mereka tidak bermain politik dengan menghentam kenyataan mufti di media sahaja. Saya nak tanya sama ada mereka telah atau akan bawa isu ini ke kabinet,” katanya lagi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.