Wanita 60% lecur ketika jawab telefon isi petrol

Wanita 60% lecur ketika jawab telefon isi petrol

Pakaian mangsa hampir terbakar keseluruhannya dengan kesan melecur di badan, dada dan beberapa bahagian lain.

keretabakar1
Kredit gambar Oriental Daily
PETALING JAYA:
Lagi kes mangsa disambar api ketika mengisi petrol di stesen minyak.

Kali ini membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang menjawab panggilan telefon ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Taman Setapak Indah, Setapak hari ini.

Menurut laporan Oriental Daily, 60% badan wanita itu melecur selepas disambar api.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pakaian mangsa hampir terbakar keseluruhannya dengan kesan melecur di badan, dada dan beberapa bahagian lain.

Jelasnya, mangsa masih sedar dan mampu memberi maklumat peribadinya kepada anggota bomba sebelum dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans dan kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta Axia berwarna merah yang dipandu wanita itu memasuki stesen minyak.

Menurutnya, mangsa kemudian membuka pintu kiri belakang dan mengambil telefon bimbit yang berdering di tempat duduk hadapan kereta.

“Sebaik sahaja dia menjawab panggilan itu, percikan api tercetus dan menyambar mangsa,” katanya yang menasihat orang ramai supaya tidak menjawab panggilan ketika mengisi minyak bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Khamis lalu, Saifuddin Ismail Din, 7, melecur 15% di muka, badan dan kaki akibat disambar api ketika ibunya mengisi petrol di stesen minyak Guchil, Kuala Krai.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang bermain pemetik api dalam kereta ketika Zakiah Mohd Det, 31, sedang mengisi minyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.