Beberapa jalan utama ke mahkamah ditutup dan hanya peguam bela, keluarga dan kenalan rapat Lim dan Phang dibenarkan berada di kawasan mahkamah.
“Polis akan mengambil tindakan jika ada yang engkar dengan arahan polis,” kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, dipetik Bernama.
Pendakwaan akan diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang semalam mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Lim dan ahli perniagaan Phang Li Khoon.
Mereka dijangka didakwa di bawah Akta SPRM 2009, berhubung isu pembelian banglo di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta yang sebelum ini dikatakan di bawah harga pasaran.
Pembelian banglo oleh Lim itu dikaitkan dengan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin kepada sebuah syarikat swasta.
Malam semalam, lebih 500 orang berhimpun di luar perkarangan pejabat SPRM di Jalan Northam, George Town, menuntut Lim dibebaskan.
Penunjuk perasaan disertai beberapa pemimpin Pakatan Harapan melaungkan “Bebas Guan Eng” dan “Tangkap Najib” sejak 8.30 malam lagi, sambil membawa pelekat mengecam penahanan itu.
