Keluarga mangsa MH17 fail tuntutan dakwa MAS cuai laluan udara

Keluarga mangsa MH17 fail tuntutan dakwa MAS cuai laluan udara

Mereka turut menuntut pampasan RM40 juta setiap penumpang, dalam apa yang boleh dikategorikan pembayaran pampasan tertinggi dalam sejarah penerbangan.

mh17_law_600

PETALING JAYA:
Beberapa hari lagi sebelum ulang tahun kedua tragedi Penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) ditembak jatuh di Ukraine, lapan keluarga penumpang di Australia memfailkan tuntutan pampasan di Mahkamah Persekutuan Australia.

Tuntutan itu difailkan pada 5 Julai, lapor Sydney Morning Herald, yang antara lain menyalahkan MAS keana memilih laluan udara di wilayah konflik.

Salah seorang daripada mereka ialah Cassandra Gibson, yang kehilangan ibunya Liliane Derden ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Perth melalui Kuala Lumpur.

Gibson berkata dia dan anaknya Ella baru sahaja berpindah rumah ketika itu, dan ibunya merancang tinggal bersama mereka selama dua minggu.

Derden, dari Canberra, merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal yang terbunuh selepas pesawat itu ditembak jatuh dengan peluru berpandu di ruang udara Ukraine pada 17 Julai, 2014.

MAS dituduh cuba menjimatkan bahan api dengan melalui ruang udara yang dibelenggu peperangan.

Gibson berkata beliau terkejut dengan MAS yang menurutnya mengambil ringan risiko semata-mata mahu menjimatkan minyak.

“Amat menakutkan apabila nyawa penumpang masih berada di tangannya,” kata Gibson kepada SMH.

Peguam Gibson, Michael Hyland, berkata tuntutan yang dikemukakan adalah di bawah terma Perjanjian Montreal 1999.

Di bawah perjanjian itu, pihak yang menuntut tidak perlu membuktikan kecuaian di pihak MAS, sekadar membuktikan mereka kehilangan ahli keluarga dan punca pendapatan.

Pampasan maksima yang boleh dituntut bagi setiap penumpang ialah $A220,000 (RM664,000).

Di samping itu, perjanjian itu juga membenarkan tuntutan lain yang lebih besar sekiranya dapat membuktikan kecuaian di pihak MAS.

Antara lain, lapan keluarga itu mendakwa MH17 memilih laluan udara L980 merentasi Ukraine sebelum ia ditembak jatuh.

Mereka turut menuntut pampasan AS$10 juta (RM40 juta) setiap penumpang, dalam apa yang boleh dikategorikan pembayaran pampasan tertinggi dalam sejarah penerbangan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.