Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Muhyiddin akan cari kesepakatan dalam pembangkang

 | July 16, 2016

Muhyiddin yakin parti-parti pembangkang dapat mengetepikan perbezaan, mewujudkan kesepakatan dan mencapai kemenangan pada PRU14.

Muhyiddin38

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai usaha mencari kesepakatan antara semua parti pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Penubuhan sebuah wadah politik baharu hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain.

“Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.

Khamis lalu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan sebuah parti politik baharu yang turut dipersetujui parti pembangkang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak semestinya mengetuai parti baharu itu yang akan membentuk pakatan pembangkang lebih besar untuk menawan Putrajaya pada PRU14.

Muhyiddin yang dipecat Umno kerana melanggar disiplin parti akhir bulan lalu menjelaskan, andaian BN akan terus berkuasa dan parti-parti pembangkang terus berpecah tidak semestinya betul.

Sehubungan itu tegasnya, parti-parti pembangkang perlu kembali berunding untuk mewujudkan kesepakatan dalam menghadapi PRU14 bagi meraih keyakinan rakyat yang parti politik selain BN mampu mentadbir Malaysia dengan lebih baik dan membela nasib rakyat.

“Saya yakin Malaysia sudah bersedia untuk menyongsong arus perubahan dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan bersatu hati untuk membela nasib rakyat, menentang rasuah, salah guna kuasa dan manipulasi sentimen perkauman yang melampau demi mencipta masa depan lebih baik untuk semua.

“InsyaAllah, berkat muafakat rakyat dan jiwa besar pemimpin yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat dan kepentingan negara, kita akan berjaya mengetepikan perbezaan, mewujudkan kesepakatan dan mencapai kemenangan,” katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments