Ketua Polis Negara itu berkata, proses rakaman percakapan dan penelitian dokumen tidak boleh dilakukan dalam waktu yang singkat sebaliknya memerlukan masa.
“Semua orang mahu kami melaksana tugas dengan baik. Jadi, kami perlukan masa kerana rakaman percakapan seseorang saksi tidak boleh selesai dalam masa sehari dua.
“Proses rakaman dan penelitian semua dokumen yang berkait boleh mengambil masa sehingga dua minggu,” ujarnya dalam sidang media di Pulapol Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, fasa pertama melibatkan rakaman kenyataan lebih 25 individu dan ia hampir selesai dilakukan.
“Fasa kedua adalah menghantar pegawai ke luar negara untuk sekali lagi merakam percakapan dan mendapatkan dokumen.
“Jadi kita akan ke luar negara bila-bila masa, cuma ada sedikit yang tidak selesai,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas mengenai laporan yang dibuat Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB.
“Saya tidak berhasrat untuk komen mengenai perkara itu kerana ia adalah prosedur sivil, itu adalah tindakan yang diambil US,” katanya.
Malah, Khalid turut akui pihaknya langsung tidak dimaklumkan mengenai tindakan DOJ itu.
Khalid juga memberi jaminan untuk berusaha menjejaki anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz yang juga seorang penerbit filem Hollywood, serta jutawan Low Taek Jho atau Jho Low.
“Itu adalah tugas polis dan kami tahu apa yang harus dilakukan bila siap nanti. Kami akan kemukakan kertas siasatan kepada peguam negara,” katanya.
Semalam, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam kes korupsi yang terbesar negara itu membabitkan entiti luar.
Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.
Ia turut menamakan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, kerana dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta.
Dalam kenyataan pagi ini, setiausaha akhbar perdana menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin berkata kerajaan Malaysia akan memberikan kerjasama penuh dalam sebarang penyiasatan membabitkan 1MDB.
