
Ia susulan daripada tindakan Bersih memberikan senarai 118,774 pengundi yang bertukar kawasan DUN atau Parlimen ekoran pemindahan lokaliti (locality correction exercise) oleh SPR.
“SPR berjanji untuk meneliti perkara ini, malangnya perlukan lebih masa. Kita telah beri masa tiga minggu untuk menganalisis data dan terkejut (dengan kelewatan SPR) memandangkan mereka sumber kepada data-data itu.
“Hari ini, kami membawa pengundi-pengundi yang terkesan untuk membuat laporan,” kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam sidang media selepas pertemuan dengan wakil SPR.
Beliau juga mendesak SPR agar segera mendedahkan tujuan pemindahan lokaliti, serta mengembalikan pengundi ke kawasan undi asal mereka.
“Sejak dimulakan 1 Jun lalu, talian awam Bersih menerima seratus laporan, kebanyakan membabitkan kawasan mengundi yang sudah berubah dan sebab ia berlaku,” katanya lagi.
Wakil 12 pengundi yang membuat laporan, Romeyzee Zainuddin berkata, beliau terkejut selepas mendapati mereka dipindahkan ke DUN Kuala Kubu Baru selepas sekian lama mengundi di DUN Batang Kali.
“Saya dapat tahu pun selepas baca kenyataan Bersih. Kami bantah tindakan SPR ini dan minta dikembalikan ke DUN asal,” katanya.
Pada 1 Julai lalu, Bersih mengancam melawat SPR setiap hari Jumaat jika pihak itu gagal memberi respon dalam dua minggu selepas Hari Raya pada 6 Julai lalu.
Maria menambah, perubahan yang dilakukan SPR memberi kesan kepada keputusan pilihan raya, terutama bagi kawasan yang dimenangi dengan majoriti kecil.
Katanya lagi, antara kawasan Parlimen tersebut adalah Titiwangsa (majoriti 866 undi) dengan kemasukan 252 pengundi, Pasir Gudang (majoriti 935 undi) dengan 463 pengundi dipindah keluar dan Segamat (majoriti 1,217 undi) dengan 2,694 pengundi dipindah masuk dan 868 pengundi dipindah keluar.
“Mengambil kira kesan ini, Bersih akui perubahan SPR jelas melanggar perlembagaan ekoran menyebabkan perubahan kepada jumlah pengundi dan sempadan kawasan.
“Perubahan seumpama ini hanya boleh dibuat melalui persempadanan semula yang memerlukan proses tertentu dan kebenaran Parlimen,” katanya lagi.