Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua 13 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 49 tahun itu warga tempatan dan ditahan dalam operasi di Selangor, Perak, Kedah, Penang dan Sabah pada 14 hingga 20 Julai lalu.
Beliau berkata 12 suspek yang ditangkap di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah, merupakan anggota sel sama yang ditahan dalam operasi pada penghujung bulan lepas.
“Mereka disyaki menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan di Malaysia.
“Salah seorang suspek mengaku berkongsi kaedah membuat bahan letupan ‘improvised explosive device’ (IED) melalui aplikasi Telegram dengan anggota pengganas IS yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid berkata suspek juga mengaku menerima arahan daripada Wanndy untuk menghasilkan IED bagi melancarkan serangan di Lembah Klang dan dia akan dibekalkan sepucuk pistol melalui orang perantaraan, sebagai persediaan mempertahankan diri jika ditangkap polis.
Katanya, polis juga berjaya merampas satu IED seberat satu 1 kg yang siap diadun, untuk digunakan dalam serangan yang dirancang ke atas pucuk pimpinan PDRM.
Semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012.
Wandy berasal dari Kedah dan berlepas ke Syria untuk menyertai IS.
Menurut kenyataan itu, suspek berusia 49 tahun yang ditangkap di Kedah, merupakan anggota kanan kumpulan pengganas IS yang aktif merekrut anggota baru melalui usrah sulit di sekitar Sik, Kedah dan turut bertanggungjawab mengatur pemergian beberapa anggota IS ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di sana.
Salah seorang anggota IS Kedah yang direkrut suspek ialah Abu Ghani Yaacob@Abu Kedah, yang terkorban di Syria pada 17 April lalu.
Khalid berkata suspek wanita berusia 43 tahun yang ditangkap di Perak, aktif mempromosikan kumpulan pengganas IS dan merancang untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan IS dengan bantuan Dr Mahmud Ahmad (anggota IS Malaysia yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina).
Tangkapan itu adalah yang terbaru membabitkan individu berkait dengan IS, di mana Khalid sebelum ini berkata serangan bom di kelab malam di Puchong ada kaitan dengan kumpulan pengganas itu.
