Samseng insaf, jadi pendakwah Kristian diberi pengampunan

Samseng insaf, jadi pendakwah Kristian diberi pengampunan

Lelaki itu dipenjarakan kerana memiliki senjata api pada 1988 membuka buku baharu selepas menemui Tuhan dalam penjara, dan dibebaskan selepas tiga dekad dalam penjara.

59-year-old Sam Kian Sang

PETALING JAYA:
Tempoh 28 tahun dalam penjara mampu menjadikan seseorang individu itu insan kuat, atau manusia yang patah semangatnya.

Bagi Sam Kian Sang, 59, hukuman penjara banyak mengubah hidupnya kerana dia bertemu Tuhan ketika dihukum, dan menyalurkan agama yang baru ditemuinya itu, bagi membantu orang lain yang berada dalam keadaan kekalutan.

Dia diberikan pengampunan diraja selepas 28 tahun.

Akhbar The Star melaporkan, Kian Sang ialah bekas samseng, yang dipenjarakan pada umur 31 tahun, pada September 1988 atas kesalahan memiliki senjata api.

Dia terlepas hukuman mati mandatori kerana pemilikan senjata api hanya kerana dia dikenal pasti sebagai bukan “pesalah utama”.

Sebaliknya, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, yang bermakna dia akan menghabiskan keseluruhan hidupnya dan mati dalam penjara, ditambah hukuman enam kali sebatan.

Menurut Kian Sang, tiga tahun pertama dalam penjara sangat sukar kerana di hatinya penuh rasa marah dan enggan menerima takdirnya.

Kemudian, datang rasa penerimaan, di mana dia belajar mengawal emosinya dan “bertenang”.

“Ini kehidupan. Bagaimana saya dapat kesabaran itu? Kerana saya percaya pada Tuhan dan Tuhan beri saya kekuatan. Saya fokus kepada kekal positif dan mengubah 100% untuk menjadi orang yang baik.

“Teman banduan lain beritahu saya mereka hampir gila selepas beberapa tahun dalam penjara. Saya bantu mereka untuk berfikiran positif, menjadikan saya sebagai contoh,” katanya.

Selepas tiga tahun dalam penjara, Kian Sang memutuskan untuk mempelajari bahasa Inggeris dan mula mengkaji Bible – dengan bantuan kamus Oxford di sisinya.

Sebagai ketua gereja di penjara Kajang, dia juga mengetuai upacara agama setiap hari dan mengadakan kelas Bible di penjara, termasuk untuk bekas penjenayah tegar. Dia juga berjaya memulihkan banduan lain yang sukar dikendalikan warden penjara.

Satu lagi sikap Kian Sang yang menjadikan dirinya dikenali ramai dalam penjara ialah mengagihkan sabun dan kelengkapan mandian kepada banduan lain, menurut laporan itu.

Melihat kepada kebaikannya, peguam dan NGO mula berkempen untuk pembebasannya. Kempen mereka turut disokong warden penjara, yang melihat Kian Sang sebagai model kepada banduan.

Awal minggu ini, Yang Di-Pertuan Agong mengeluarkan pengampunan diraja kepada Kian Sang.

Dapat kembali menjadi individu bebas, Kian Sang akhirnya dapat menikmati mi wan tan kegemarannya, kata laporan itu.

Dia juga kini belajar menggunakan telefon bimbit dan merancang untuk berpindah ke Rumah Petros, rumah persinggahan sebelum bertemu kembali dengan keluarga dan ahli gereja.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.