Selepas 1MDB, Goldman Sachs disaman RM2 bilion
Saman terbaru itu mengancam untuk mengheret adik-beradik Najib Razak ke dalam kemelut itu.
PETALING JAYA: Goldman Sachs Group Inc yang sedang disiasat pendakwa raya Amerika Syarikat kini dilanda masalah lebih besar.
Dalam perkembangan terkini, saman lebih AS$500 juta (RM2 bilion) difailkan Primus Pacific Partners terhadap bank itu mengancam mengheret ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun tiada kaitan dengan 1MDB.
Primus Pacific yang merupakan pemegang saham terbesar Malaysia EON Capital Bhd sebelum ia dibeli Hong Leong pada harga AS$1.6 bilion, mendakwa Goldman Sachs memujuk lembaga EON Capital mengupahnya sebagai penasihat kewangan, dengan memutar belit dan menyembunyikan konflik kepentingan.
Menurutnya, Goldman dan bekas pengarah urusan, Tim Leissner membelakangkan tanggungjawab mereka sebagai penasihat kewangan EON Capital, dengan menggunakan maklumat sulit untuk membantu Hong Leong membeli EON pada harga lebih rendah.
Salah seorang adik Najib berkhidmat sebagai ahli lembaga, manakala seorang lagi adiknya adalah pengerusi firma pelaburan yang dilantik sebagai penasihat bank itu, menurut Primus Pacific dalam saman itu yang dipetik Bloomberg.
Saman berkenaan difailkan ketika Goldman mendapat perhatian pendakwa raya AS berhubung peranan dalam 1MDB.
Minggu lalu, pendakwa raya AS mendedahkan lebih AS$2 bilion daripada AS$6.5 bilion yang dikumpul Goldman untuk 1MDB disalurkan individu yang ada hubungan politik ke dalam pelbagai projek, termasuk pembikinan filem Hollywood, pangsapuri New York, lukisan terkenal dan sebuah jet.
Leissner yang merupakan bekas naib pengerusi operasi Goldman di Asia, adalah bank utama dalam urus niaga 1MDB. Beliau melepaskan jawatan di Goldman selepas dipaksa bercuti pada Januari untuk “kenyataan tidak tepat dan tidak dibenarkan”.
Minggu lepas, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman mahu menyita aset berkait syarikat milik Kementerian Kewangan itu berjumlah AS$1 bilion, atas dakwaan kecurian wang dan korupsi.
Dokuman penyiasat AS turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, menggunakan wang yang dilesapkan daripada 1MDB. Ia juga mendakwa wang 1MDB sebanyak AS$11 juta disalurkan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho bagi melangsaikan hutang judinya di Las Vegas.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram