Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘1MDB Officer 3′ sudah dikenalpasti

 | July 28, 2016

Bloomberg menamakan Jasmine Loo, yang dikehendaki Bank Negara untuk soal siasat, didakwa menerima AS$5 juta (RM20.27 juta) selepas penjualan bon 1MDB.

jasmin-loo_1mdb_600

LONDON: Salah seorang daripada mereka yang disebutkan dalam saman penyitaan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dikenalpasti sebagai Jasmine Loo, bekas ketua penasihat undang-undang untuk 1MDB.

Dia juga merupakan pengantara (liaison) 1MDB ke Goldman Sachs Group Inc, bank antarabangsa yang membantu 1MDB memungut AS$6 bilion AS$6 bilion (RM24.33 bilion), menurut laporan Bloomberg.

Memetik dokumen yang disediakan DoJ, laporan itu berkata selepas salah satu daripada penjualan lumayan yang dipimpin Goldman Sach, sejumlah AS$5 juta (RM20.27 juta) daripada wang yang dipungut untuk 1MDB disalurkan melalui beberapa syarikat kosong (shell companies) dan didakwa akhirnya dimasukkan dalam akaun bank Swiss miliknya.

“Pemerintah AS merujuk kepada pegawai berkenaan sebagai ‘1MDB Officer 3′. Menurut pihak yang maklum akan hal itu, pegawai itu adalah Jasmine Loo Ai Swan – seorang rakyat Malaysia yang mengaji undang-undang di United Kingdom dan bekerja untuk satu pemaju dari Malaysia dan satu syarikat minyak sebelum menyertai 1MDB,” menurut laporan itu.

AS tidak menuduh Jasmine atau mana-mana individu melakukan jenayah dalam aduannya, yang mahu merampas aset-aset yang menurut Washington D.C “dilesapkan secara salah” daripada syarikat milik kerajaan itu.
Pada 2015, Bank Negara Malaysia memaparkan notis di laman sesawangnya menyatakan Jasmine dan seorang lagi bekas pegawai 1MDB dikehendaki untuk soal siasat.

Bloomberg berkata Jasmine tidak menjawab permohonan untuk mendapatkan ulasan yang dipohon selama beberapa bulan di Malaysia dan di pangsapuri yang dia miliki di daerah Flatiron, New York.

“Meskipun jumlahnya sederhana berbanding yang lain dalam skim itu, pindahan AS$5 juta (RM20.27 juta) yang didakwa itu ketara. Penerimanya bukan sahaja seorang peguam dan pengantara 1MDB dengan Goldman Sachs, tetapi juga satu-satunya orang dalam 1MDB yang DoJ sebut menerima sejumlah bayaran.”

Pindahan wang itu, menurut pemerintah AS, adalah satu daripada berbelas pembayaran haram dalam skim yang dikawal Jho Low dan kesudahannya mengambil sejumlah AS$3.5 bilion (RM14.19 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad.

Laporan Bloomberg menaikkan beberapa butiran mengenai kerjaya Jasmine dan bagaimana peguam itu bekerjasama dengan Jho Low.

Ia menyebut mengenai tiga urusniaga bon yang diuruskan Goldman dan peranan yang dimainkan Jasmine dan lain-lain dan bagaimana sebahagian daripada dana yang didakwa dilencongkan ke akaun individu atau akaun syarikat syarikat kosong, termasuk orang yang disebut sebagai “Malaysian Official 1″.

Sebagai contoh, menurut laporan itu, 1MDB memungut sejumlah AS$1.56 bilion (RM6.32 bilion) daripada jualan bon pertama. Lebih daripada separuh diuntukkan bagi membeli sebuah syarikat penjana tenaga.
“Menurut pekeliling tawaran yang dikemukakan Goldman, baki AS$774 juta (RM3138 juta) ditetapkan untuk kegunaan ‘serbaguna korporat (mungkin melibatkan pemerolehan di masa akan datang)’.

“Tetapi bukan itu yang berlaku. Sejumlah AS$577 juta (RM2339 juta) disalurkan ke sebuah syarikat kosong yang dikawal oleh sekutu Jho Low, menurut pendakwaraya.”

Selepas pungutan kedua, sejumlah AS$790 juta (RM3203 juta) lagi didakwa pergi ke syarikat kosong yang dikawal rakan Jho Low. Sejumlah AS$1.26 bilion (RM5.11 bilion) didakwa disalurkan ke satu syarikat kosong baharu yang ditubuhkan oleh rakan Jho Low daripada jualan bon ketiga dan terbesar, bernilai AS$2.7 bilion (RM10.95 bilion), menurut laporan itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments