Ini bukan wilayah Pokemon, kata mufti WP

Ini bukan wilayah Pokemon, kata mufti WP

Arahan itu dibuat berdasarkan kepada nas dan mudarat yang dibawa akibat daripada permainan itu, kata mufti.

pokemon-go-1
KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata permainan dalam aplikasi telefon pintar, Pokemon Go dan Pokemon tidak dibenarkan kepada umat Islam.

Keputusan itu dicapai selepas perbincangan bersama Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Isnin lalu.

“Ketetapan ini dibuat berdasarkan nas serta kemudaratan yang berlaku. Masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan seharusnya tidak terbabit dalam muat turun aplikasi permainan itu,” katanya.

Beliau berkata, selepas penelitian pendapat ulama dan fatwa antarabangsa, jawatankuasa berpendapat arahan yang dikemukakan itu berasas.

“Permainan Pokemon Go dan Pokemon perlu dijauhi,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di muftiwp.gov.my, hari ini.

Zulkifli berkata aplikasi permainan Pokemon Go dan Pokemon menunjukkan seolah-olah ada kewujudan kuasa dan dewa tertentu sekali gus menjurus kepada perjudian.

“Hujah mengenai hukum bermain Pokemon sebagai haram mempunyai asas kuat manakala Pokemon Go mudarat dari sudut pengintipan pihak luar, pencerobohan ruang peribadi dan menyebabkan seseorang lalai lalu kemalangan,”katanya.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Nor turut menggesa permainan itu diharamkan kerana ia akan menyebabkan banyak perkara buruk berlaku.

Pautan:

Mufti Pulau Pinang desak haramkan Pokemon Go

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.