Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

SK semakin ‘Melayu’ dan ‘Islam’, makin ramai ke sekolah Cina

 | August 5, 2016

Jumlah pelajar yang didaftarkan ke sekolah aliran Cina meningkat 18% bagi sesi persekolahan 2016 dan angka itu dijangka terus meningkat setiap tahun.

Prof Dr Teo Kok Seong

PETALING JAYA: Kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan mendedahkan sekolah aliran Cina berupaya menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang.

Dan antara kebimbangan ibu bapa ialah sekolah kerajaan semakin tidak mencerminkan kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini.

Ahli majlis yang baru sahaja bersara, Prof Teo Kok Seong berkata, peratus pendaftaran baharu pelajar bukan Melayu bagi sekolah kebangsaan hanya naik 4% manakala sekolah Cina pula menerima peningkatan sebanyak 18% bagi pelajar bukan Cina.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat setiap tahun. Kajian kami menunjukkan sekolah vernakular mungkin menjadi sekolah aliran utama dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila lebih ramai ibu bapa bukan Cina enggan mendaftar anak mereka ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pilihan utama pendidikan dan sekolah oleh ibu bapa masa kini.

Tambahnya, sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Kementerian Pendidikan 2013-2025 untuk menarik lebih ramai pelajar Cina dan India ke sekolah kebangsaan mungkin gagal pada 2025.

Ini kerana kajian menunjukkan lebih ramai ibu bapa merancang mendaftarkan anak mereka di sekolah jenis kebangsaan (vernakular) atau swasta.

Kajian yang dijalankan oleh 13 anggota majlis terdiri daripada pendidik, tokoh korporat dan bekas pegawai Jabatan Pendidikan peringkat tertinggi itu, turut menyenaraikan lima sebab utama ibu bapa kelas pertengahan dan menengah berpendapatan tinggi enggan memilih sekolah kebangsaan.

Pertama, kaedah pengajaran dan didikan yang lemah dalam kalangan guru-guru.

Kedua, pentadbiran sekolah kebangsaan yang didominasi satu kaum.

Ketiga, sekolah dilihat “terlalu Islam”, diikuti isu disiplin sebagai salah satu masalah yang besar dan akhir sekali, keadaan sekolah yang tidak diurus dengan baik termasuk menggunakan komputer ketinggalan zaman.

Beliau juga mencadangkan, guru-guru yang mahir dalam mata pelajaran tertentu sahaja dibenar menjadi ketua subjek supaya mereka dapat membimbing guru-guru lain.

“Sebagai contoh, jika seorang guru berbangsa India mahir dalam bahasa Inggeris, guru itu perlu menerajui unit tersebut. Tetapi sebaliknya, keutamaan diberikan kepada orang lain yang tidak mampu membimbing orang lain. Begitu juga dengan pengetua sekolah. Ketua sekolah perlulah daripada kalangan yang paling layak untuk menjalankan sebuah sekolah.

“Tidak perlu memberi keutamaan mengikut bangsa. Ibu bapa hanya mahukan seorang pendidik yang mampu mengajar dan mendisiplinkan anak-anak mereka. Jika ia boleh dilakukan, kerajaan akan memperoleh semula keyakinan dan menarik lebih ramai pelajar bukan Melayu ke sekolah kebangsaan.”

Beliau juga tidak menafikan berlakunya pertembungan antara ibu bapa Islam dan bukan Islam.

Dalam beberapa forum yang dianjurkan majlis itu, ibu bapa Islam merasakan ajaran Islam tidak mencukupi di sekolah kebangsaan manakala ibu bapa bukan Islam tidak selesa dengan amalan bacaan doa semasa perhimpunan.

Teo yang mengajar di UKM berkata, ibu bapa bukan Islam tidak selesa dengan rakaman audio yang membacakan lagu-lagu agama semasa perhimpunan.

“Rasa tidak senang hati yang berterusan terhadap isu ini menyebabkan ibu bapa bukan Islam menghantar anak mereka ke sekolah Cina atau ke sekolah swasta. Ia adalah isu sensitif dan seolah-olah tiada pengakhiran.”

Bagi ibu bapa Melayu pula, kebimbangan utama mereka adalah tentang kualiti pendidikan.

“Mereka bimbang guru sekolah kebangsaan tidak meletakkan usaha terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka. Mereka bimbang anak mereka mungkin tidak dapat mengejar dunia yang bergerak pantas.”

Jelasnya, kebanyakan ibu bapa Melayu mahu anak mereka cemerlang dalam matematik dan menyukai pendidikan komputer dan sukan dengan kemudahan yang dikemas kini oleh sekolah-sekolah Cina.

“Mereka sedar, anak-anak di tangan yang baik.”

Mac lalu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Abdul Aziz Abdul Rahman memberitahu sebuah portal berita, sekolah kebangsaan telah menjadi de facto sekolah Melayu, sekali gus menghalang usaha memupuk perpaduan antara kaum.

Katanya hanya sekolah menengah yang masih menyimpan pelajar Melayu dan bersifat kebangsaan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments