Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Tidak mungkin sekolah Cina ganti SK, kata menteri pendidikan

 | August 7, 2016

Mahdzir berkata, fenomena itu hanya berlaku di sekolah Cina di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak, tetapi tidak di kawasan bandar.

mahdzir-sekolah-cina

KUALA LUMPUR: Sekolah aliran Cina tidak mungkin menggantikan sekolah kebangsaan (SK) menjadi sekolah arus perdana dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelasnya, fenomena itu mungkin berlaku di sekolah aliran Cina di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak, tetapi tidak di kawasan bandar.

“Seperti di kawasan Parlimen saya di Padang Terap, 50% pelajar sekolah aliran Cina adalah bumiputera. Di luar bandar, Sabah dan Sarawak, sekolah aliran Cina dikuasai pelajar bumiputera.

“Tetapi, di kawasan bandar tidak ada, sekolah aliran Cina memang didominasi pelajar kaum Cina. Jadi, tidak mungkinlah (ia mengambil tempat sekolah kebangsaan),” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa, hari ini.

Kelmarin, FMT melaporkan kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mendedahkan sekolah aliran Cina berupaya menggantikan sekolah kebangsaan dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang.

Ahli MPPK yang baru bersara, Prof Teo Kok Seong dilaporkan berkata, peratusan pendaftaran baharu pelajar bukan Melayu bagi sekolah kebangsaan hanya naik 4%, manakala sekolah Cina pula meningkat 18% bagi pelajar bukan Cina.

Antara kebimbangan ibu bapa ialah sekolah kebangsaan semakin tidak mencerminkan kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini.

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan akan memperhalusi kajian itu untuk mengetahui kejadian sebenar sebelum memberi penjelasan kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir menegaskan, cadangan Tan Sri Noh Omar untuk mewajibkan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) semua sekolah di Selangor mengutip derma bagi menampung kos penyelenggaraan sekolah tidak perlu, kerana ia masih di bawah tanggungjawab kementeriannya.

“Saya rasa niat beliau baik, mungkin yang dimaksudkannya adalah membantu (kerajaan) sahaja. Kementerian ada bahagian pembangunan dan perolehan, ia masih tanggungjawab kerajaan.

“Sebenarnya sudah ada sekolah yang berbuat demikian. Misalnya, ada SJKC yang bina bangunan melalui kutipan PIBG, tetapi ada juga ibu bapa yang terbeban dengan yuran dikenakan sekolah. Terpulang kepada kemampuan,” katanya lagi.

Saranan itu disuarakan Noh yang mendakwa dana penyelenggaraan sekolah tidak mencukupi, walaupun RM500 juta diperuntukkan kerajaan melalui Belanjawan 2016 untuk tujuan itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments