Caj RM2,100 bagi haji dan umrah lebih sekali

Caj RM2,100 bagi haji dan umrah lebih sekali

Ia diperkenalkan Arab Saudi bagi memberi peluang kepada umat Islam yang masih belum menunaikan ibadah haji.

tabunh haji
KUALA LUMPUR:
Caj visa 2,000 riyal (kira-kira RM2,120) dijangka dilaksanakan pada Oktober bagi setiap permohonan untuk mengerjakan haji dan umrah, hanya melibatkan ibadat kali kedua dan seterusnya, menurut Lembaga Tabung Haji (TH).

TH dalam kenyataan berkata bagi sesiapa yang mengerjakan haji dan umrah buat pertama kali, tiada caj visa dikenakan.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan beberapa akhbar Arab Saudi pada 9 Ogos mengenai semakan semula kadar caj visa itu mulai 2 Oktober ini.

“TH akan memaklumkan apabila pemberitahuan rasmi diterima daripada kerajaan Arab Saudi mengenai kadar caj visa haji dan umrah,” kata badan pengurusan haji Malaysia itu.

TH berkata umum maklum bahawa bagi jemaah Malaysia yang mengerjakan haji kali kedua, TH mengenakan bayaran haji sebenar bagi tahun semasa tanpa subsidi.

“Oleh yang demikian, apabila caj visa itu dikuatkuasakan, tambahan kos visa sebanyak SR2,000 itu akan ditanggung sepenuhnya oleh jemaah berkenaan,” kata kenyataan itu.

TH berkata langkah semakan itu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi bagi memberi ruang kepada umat Islam yang masih belum menunaikan ibadah haji untuk berbuat demikian.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.