Reman tamat, ‘Datuk Seri’ DBKL bebas

Reman tamat, ‘Datuk Seri’ DBKL bebas

Pegawai kanan DBKL berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

dbkl_law_600
PUTRAJAYA:
Pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar ‘Datuk Seri’ yang direman 12 hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, dibebaskan hari ini.

Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas remannya tamat hari ini.

Lelaki itu sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos lalu dan disambung selama lima hari lagi sehingga hari ini.

Reman lelaki itu disambung selepas SPRM mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk melakukan beberapa lagi siri penggeledahan, merakam kenyataan kontraktor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek, selain mendapatkan dokumen penting berhubung kes berkenaan.

Pegawai itu ditahan pada jam 3.07 petang 15 Ogos lalu di pejabatnya di bangunan DBKL, Kuala Lumpur.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Di bawah Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Bagi Akta Pengubahan Wang Haram pula, pelaku berdepan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM500,000 membabitkan projek pembalakan di pantai timur, turut dibebaskan hari ini.

Nik Isfahanie Tasnim membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Lelaki berusia 64 tahun bergelar ‘Datuk’ itu sebelum ini ditahan SPRM untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.