Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hishammuddin bidas Dr Mahathir cakap tak serupa bikin

 | August 28, 2016

Hishammuddin berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan sekiranya mahu membuat pindaan semula terhadap Perlembagaan Persekutuan.

hishamuddin-mahathir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein meragui keikhlasan Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas tindakannya memansuhkan perkenan raja-raja untuk mewartakan undang-undang baharu, 23 tahun lalu.

Naib Presiden Umno itu berkata, tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau tidak konsisten dengan apa yang diperjuangkannya untuk masa depan Malaysia.

Beliau berkata, jika tindakan Dr Mahathir mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mewartakan undang-undang baharu adalah betul, beliau tidak perlu memohon maaf.

“Hujah yang diketengah Tun ketika itu ialah untuk memastikan tidak ada institusi tertentu yang menidakkan usaha kerajaan untuk bangunkan negara dan bangsa.

“Tetapi, hari ini hujahnya berbeza dan kadang-kadang kita tertanya-tanya sama ada (Dr Mahathir) betul-betul ikhlas sokong benda itu (mansuh perkenan Raja-raja Melayu) sehingga dia memohon maaf. Cakap tak serupa bikin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Gombak di Setiawangsa, hari ini.

Khamis lalu, Dr Mahathir meminta maaf atas tindakannya meminda Perlembagaan Persekutuan pada 1993 yang menyaksikan rang undang-undang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara akan menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari, selepas dipersembahkan kepada Agong, dengan atau tanpa persetujuan baginda.

“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran yang berbeza,” kata bekas perdana menteri itu menerusi blognya.

Kesan daripada pindaan itu, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diwartakan dan menjadi undang-undang mulai 1 Ogos lalu walaupun tanpa persetujuan Agong.

Mengulas lanjut, Menteri Pertahanan itu berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan sekiranya mahu membuat pindaan semula terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh alih tiang gol, kerana kita juga terpaksa bertanggungjawab di atas tindakan yang dilakukan ketika itu yang mana kita (Umno) memimpin ketika itu.

“Perlakuan itu akan dinilai generasi akan datang dan ini akan jadi satu perkara dihakimi generasi lepas kita ini,” katanya.

Pautan:

Dr Mahathir minta maaf hilangkan kuasa Agong


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments