Bila lagi hendak lantik Mukhriz timbalan presiden PPBM, soal Khairuddin

Bila lagi hendak lantik Mukhriz timbalan presiden PPBM, soal Khairuddin

Desakan itu dibuat ketika spekulasi pemimpin PPBM semakin tidak puas hati terhadap kepimpinan Muhyiddin.

khairuddin-mukhriz
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini mempersoalkan kekosongan jawatan timbalan presiden dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) walaupun parti itu sudah 3 minggu diluluskan pendaftarannya.

Bekas pemimpin Umno yang dilihat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad itu mendakwa ramai mengharapkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dilantik sebagai cara menarik sokongan golongan belia kepada parti itu.

“Majoriti rakyat yang buat permohonan untuk jadi ahli parti Bersatu khususnya generasi muda masih menunggu kepimpinan protem menamakan Muhkriz sebagai timbalan presiden secara rasmi, barulah ramai lagi ‘gen Y’ akan menganggotai parti Bersatu,” kata Khairuddin.

Desakan itu dibuat ketika spekulasi pemimpin PPBM semakin tidak puas hati terhadap kepimpinan Muhyiddin yang dilihat suka bertindak bersendirian.

FMT baru-baru ini memetik sumber yang mendakwa Muhyiddin juga mengenepikan Dr Mahathir dan penyokongnya, di samping tidak selesa dengan pembangkang khususnya DAP.

Khairuddin, yang terlibat daripada peringkat awal dalam pergerakan Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir beberapa bulan sebelum penubuhan PPBM, memilih tidak menyertai parti baharu pimpinan Muhyiddin itu.

Malah, bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu juga dikatakan mempertimbangkan mahu menyertai PKR atau DAP dalam meneruskan perjuangannya menentang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Khairuddin menegaskan perlantikan Mukhriz merupakan sesuatu yang sudah dijanjikan sejak awal.

“Dalam apa jua keadaan kepimpinan protem mesti menrealisasikan impian dan kehendak rakyat serta generasi muda yang mahukan Muhkriz dinamakan secepat mungkin sebagai timbalan presiden parti Bersatu.

“Semua berharap presiden protem dan pengerusi parti jangan mungkir janji,” katanya.

PAUTAN: 

2 minggu berlalu, PPBM di bawah Muhyiddin masih lesu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.