Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Elak jadi bangsa badut, Sultan Nazrin ingatkan Melayu

 | November 9, 2016

Sultan Perak berkata Melayu perlu membuktikan mereka bangsa disegani dan bukan ditakuti, dan ini boleh dicapai dengan memiliki nilai dan peradaban tinggi.

Sultan Nazrin ShahSHAH ALAM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mahu orang Melayu membuktikan mereka bangsa yang bermaruah dan memiliki harga diri supaya tidak menjadi bahan ketawa.

“Melayu itu hendaklah berimej orang yang dihormati, bukan orang yang ditakuti,” baginda berucap ketika merasmikan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam.

“Buktikan bangsa Melayu bangsa yang pintar, dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta pelbagai penglipur lara untuk dijadikan halwa telinga, atau berimej badut hingga dijadikan bahan ketawa. Setiap kegagalan – setiap kesilapan, yang dilakukan oleh anak Melayu, aibnya ditanggung oleh seluruh bangsa.”

Sultan Nazrin mengakui masyarakat Melayu merupakan bangsa yang sensitif, tetapi adalah lebih penting membuktikan mereka juga memiliki sifat seperti menepati janji, membayar balik hutang dan tidak berdusta.

“Muliakan bangsa Melayu, dengan memperkayakan sopan dan tertibnya, adat dan adabnya, hemah dan budinya.”

Menurutnya, orang Melayu perlu menyerahkan amanah kepada Melayu yang benar-benar berwibawa dan berpengetahuan “daripada menyerahkan kepada orang perantaraan yang bersifat parasit, berniaga secara buluh kasap, untung tiada, modal pun lesap”.

Dalam ucapannya, Sultan Nazrin turut menceritakan sejarah awal penubuhan UiTM dalam usaha memberikan peluang kepada Bumiputera.

Antara yang disentuh ialah perbahasan di Parlimen pada 1976, ketika beberapa ahli Parlimen termasuk Lim Kit Siang menyeru supaya Institut Teknologi Mara dibuka kepada rakyat semua kaum.

Idea itu bagaimanapun ditolak menteri pelajaran ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, yang berhujah perpaduan tidak wajar hanya didesak untuk dilaksanakan di ITM sedangkan ada wakil rakyat pembangkang menuntut ditambah penubuhan sekolah Cina dan Tamil.

“Dr Mahathir menyeru agar mereka yang bersungguh mahu merealisasikan agenda perpaduan nasional untuk membuktikannya dengan menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan,” menurut Sultan Nazrin yang menyorot kembali perbahasan di Dewan Rakyat.

“Sebagai seorang yang berlatar belakang doktor perubatan, beliau turut mengukuhkan hujah, tidak akan membuka pintu ITM kepada bukan bumiputera, dengan mengambil contoh perbandingan kes perubatan arterio-venous shunt, satu analogi, hubungan saluran di antara arteri dengan vena.”

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments