Laporan polis dalam talian bakal dilaksanakan, kata Nur Jazlan

Laporan polis dalam talian bakal dilaksanakan, kata Nur Jazlan

Timbalan menteri dalam negeri berkata, kementeriannya sedang mengkaji butiran projek perintis dengan Jabatan Peguam Negara.

jazlan-polis-1
KUALA LUMPUR:
Polis bakal menerima laporan dalam talian, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan di mana kementeriannya sedang mengkaji projek perintis mengenainya.

“Orang ramai mungkin tidak perlu pergi ke balai polis untuk memfailkan laporan lagi. Laporan boleh dibuat dari mana-mana sahaja, melalui telefon bimbit atau komputer mereka dengan mudah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pertanyaan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) yang ingin tahu jika polis sedang mencari jalan untuk beralih daripada kaedah tradisional dalam membuat laporan di balai polis kepada memfailkannya di dalam talian.

Bagaimanapun, Nur Jazlan menekankan salah satu daripada halangan bagi pelaksanaan membuat laporan polis dalam talian adalah mendapat tandatangan mangsa atau pengadu.

“Masalahnya ialah bagaimana kita hendak memastikan tandatangan terhadap laporan itu,” kata ahli Parlimen Pulai itu, sambil menambah satu penyelesaian
yang ditawarkan adalah untuk membolehkan tandatangan digital pada laporan.

Pemeriksaan pantas FMT di Internet menunjukkan satu-satunya pasukan polis di dunia yang berjaya melaksanakan laporan dalam talian adalah Jabatan Polis Houston (HPD) di Texas, Amerika Syarikat.

Menurut laman web HPD, selepas melengkapkan maklumat yang diperlukan, pengadu akan menerima nombor laporan dan boleh mencetaknya bagi simpanan rekod peribadi mereka.

Bagaimanapun, laman web HPD menyatakan kemudahan dalam talian hanya tersedia untuk pengadu melaporkan kes-kes kecurian (sehingga nilai AS$5,000, tiada kenderaan dikaitkan) dan aktiviti jenayah, seperti vandalisme atau kerosakan harta, di mana tiada suspek atau saksi.

Sebelum meneruskan membuat laporan, pengadu turut diingatkan menerusi laman web HPD itu yang perbuatan membuat laporan polis palsu adalah satu jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.