Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PKR: Adam bukan orang kerajaan, tak perlu isytihar harta

 | November 16, 2016

Afif berkata, pengisytiharan harta hanya untuk mereka yang ada kuasa eksekutif dan pegawai kerajaan, bukan peniaga atau orang awam.

Dr-Afif-Bahardin

KUALA LUMPUR: PKR hari ini mempertahankan pemimpin Pemudanya, Datuk Adam Rosly yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa pada usia muda, tidak perlu mengisytiharkan hartanya kerana beliau bukan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut memuji kesediaan Adam memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan.

“Pengisytiharan harta untuk mereka yang ada kuasa eksekutif dan pegawai kerajaan, bukan peniaga atau orang awam. Beliau sudah jelaskan tiada apa-apa jawatan kerajaan, jadi saya tidak nampak ada keperluan untuk mengisytiharkan harta,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menasihatkan Adam mengisytihar semua hartanya secepat mungkin kerana ia adalah mekanisme pemeriksaan dan kawal selia diri yang dirasakannya perlu dilakukan semua orang, lebih-lebih lagi Datuk Jamal Yunos.

Semalam, Jamal yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar membawa beberapa wartawan menaiki helikopter untuk menunjukkan banglo milik Adam dan mendakwa pemuda berusia 28 tahun itu turut memiliki pelbagai kereta mewah, walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.

Adam bagaimanapun berkata, memiliki harta kekayaan dan gelaran “Datuk” pada usia muda bukanlah sesuatu yang aneh dan mencabar Jamal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam juga, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, beliau sudah membuat laporan kepada SPRM.

Afif berkata, PKR disertai golongan muda pelbagai latar belakang dan status sosial yang “mendukung prinsip reformasi” parti itu.

“Beliau seorang yang kaya dan ingin melawan kerajaan Datuk Seri Najib Razak yang rasuah, ini perkara baik. Ambil contoh sahabat Nabi Muhammad iaitu Abdurrahman Auf, hartawan yang membela Islam dan membantu dakwah Nabi.

“Tidak guna jadi seperti Datuk Jamal Yunos yang dikatakan kaya juga, tetapi melanggar undang-undang dan pertahankan Najib yang rasuah,” kata exco Pulau Pinang itu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Jamal harus membuktikan dakwaannya, jika benar Adam memperoleh kekayaannya melalui cara salah.

“Beban pembuktian kepada orang yang menuduh. Apakah orang yang dituduh pula kena jawab, kena tunjuk cukai pendapatan misalnya. Janganlah kita beri keistimewaan kepada Jamal sampai begitu sekali,” katanya.

The Star hari ini melaporkan Adam memuat naik gambar rumah 2 tingkat miliknya di Putrajaya, kereta Mercedez Benz, Range Rover dan motosikal berkuasa tinggi KTM 200 Duke ke Instagram.

PAUTAN:

Rafizi nasihat ketua Pemuda PKR Ampang isytihar harta

Pemimpin Pemuda PKR cabar Jamal lapor banglo mewahnya


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments