
Katanya, kepimpinan parti juga tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung insiden yang membabitkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad itu.
“Umno tidak menyokong apa-apa tindakan yang berunsur kepada pergaduhan atau pertelingkahan, sebaliknya parti ini mendukung dan mempertahankan Perlembagaan dan perundangan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, Tengku Adnan berkata, Umno memandang serius sikap ahli Parlimen yang menggunakan perkataan kesat dan memberi gelaran berbaur negatif sehingga mengundang kemarahan kepada wakil rakyat lain.
Katanya, Umno menyelar tindakan sedemikian yang dianggap tidak rasional dan tidak matang, malah bertentangan etika serta sikap selaku wakil rakyat.
Dalam insiden kekecohan itu, ahli Parlimen Amanah itu, Khalid dilaporkan cuba diserang sekumpulan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, apabila beliau memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman “sial”.
Kumpulan perusuh itu pada mulanya hanya mengganggu Khalid dengan menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!” sebelum seorang daripada mereka terjatuh di depan beberapa pegawai keselamatan Parlimen dan keadaan bertukar ganas.
Salah seorang lelaki dalam video itu juga dilihat menjerit kepada Khalid dan berkata “ini baru permulaan”.
Insiden di Dewan Rakyat itu berpunca daripada kenyataan timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu dengan merujuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita dengan Kok”.
Beliau enggan menarik balik kenyataannya dan disokong Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang memutuskan tiada keperluan melakukannya dengan mengatakan Tajuddin hanya merujuk kepada nama Kok.
Setakat ini, polis menahan 8 lelaki dan 3 wanita berusia 28 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan berhubung insiden itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.