
“Tindakan segera oleh McDonald’s itu adalah bijak dan respon positif terhadap bantahan penduduk Sarawak mengenai dasar tidak popular itu,” kata setiausaha politik kepada ketua menteri Michael Tiang, dalam satu kenyataan.
Cawangan McDonald’s di bandar Miri sebelum ini meletakkan notis berkenaan, yang mencetuskan kontroversi di Semenanjung susulan rungutan orang ramai yang menganggap peraturan itu tidak masuk akal.
Antaranya, mereka mempertikaikan sama ada kek yang dibuat sendiri juga perlu mendapatkan sijil halal Jakim.
Semalam, Tiang berkata peraturan hanya kek dengan sijil rasmi halal boleh dibawa masuk ke McDonald’s merupakan dasar “tidak sesuai dengan masyarakat berbilang kaum dan agama Sarawak”.
“Jika McDonald melaksanakan polisi yang sama di rangkaian makanan segeranya di Sarawak, saya percaya pengguna bukan Islam mungkin mengambil jalan keluar dengan memboikot rantaian makanan segera,” katanya.
McDonald’s sebelum ini mengesahkan polisi itu bagi mematuhi garis panduan pensijilan halal Jakim, selepas imej notis mengenai perkara itu tersebar di Internet.
Susulan itu, syarikat itu memohon maaf atas salah faham yang timbul, namun menegaskan polisi berkenaan akan diteruskan.