Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr M janji hapus GST, pulihkan ringgit jika pembangkang menang PRU14

 | January 15, 2017

Pengerusi PPBM turut berjanji mengembalikan demokrasi agar rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa sesiapa sahaja termasuk pemimpin kerajaan.

mahathir-pru14SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa pembaharuan yang dilakukan jika parti campuran pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, antara perkara utama adalah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secara beransur-ansur dan menggantikannya dengan cukai jualan mengikut selera rakyat.

Selain itu, nilai mata wang ringgit akan dipertahankan tanpa menjual dolar Amerika dalam simpanan negara.

“Kita akan cipta cara lebih berkesan untuk memulihan nilai mata wang supaya tidak menekan rakyat terutama mereka yang mempunyai anak belajar di luar negera,” katanya semasa melancarkan parti itu secara rasmi di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Bekas perdana menteri itu berkata, perkara lain yang dilakukan adalah mengembalikan demokrasi negara bagi menghormati sistem pemerintahan mengikut undang-undang.

“Ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa sesiapa sahaja termasuk pemimpin kerajaan jika terdapat salah laku atau jenayah di kalangan mereka.

“Tidak akan ada pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang negara. Pendakwa raya tidak boleh meletakkan tuduhan dan laporan orang awam atau agensi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi bagi melindungi jenayah pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, parti campuran pembangkang juga akan memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat termasuk media untuk melaporkan kebenaran.

“Namun, keselamatan dan keamanan dalam masyarakat serta negara perlu diambil kira mengikut kehendak majoriti rakyat. Kebebasan berpolitik juga akan dihormati kerajaan parti campuran pembangkang,” katanya.

Tambahnya, ia akan menyiasat penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengenal pasti projek yang membazir serta mengkaji semula kemampuan negara untuk berhutang.

“Kita akan kejar semua wang 1MDB dan kerajaan yang dilesapkan yang kita tahu berada di tangan orang tertentu.

“Tafsiran pelaburan langsung asing akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.”

Di samping itu, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai pembelian tanah secara besar-besaran oleh warga asing dengan tujuan menempatkan orang mereka.

Menurutnya, perkara itu akan diteliti dari segi kesannya secara langsung terhadap masa depan politik negara.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Presiden Amanah Mohamad Sabu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments