
Kebanyakannya berasa perkhidmatan awam percuma seperti Go-KL menjejaskan pendapatan mereka.
Pemandu teksi, Abu Samah, 51, berkata tindakan kerajaan itu menyebabkan kebanyakan pelanggan terutama pelancong asing memilih menaiki bas percuma.
“Nak salahkan siapa? Bukan sahaja bas percuma Go-KL, tetapi kini juga sudah ada perkhidmatan MRT dan bas perantara MRT percuma selama sebulan.
“Bukan sahaja terpaksa bersaing dengan kenderaan Uber dan Grab, tetapi terpaksa bersaing dengan lambakan perkhidmatan awam yang disediakan. Kerajaan dah cantas, kita nak buat macam mana,” katanya ketika ditemui FMT di KL Sentral.
Perkhidmatan bas Go-KL yang diperkenalkan sejak 2012 itu dikendalikan Go-KL City Bus dengan laluan yang dikelaskan mengikut warna iaitu hijau, ungu, merah dan biru.
Ia melalui destinasi yang menjadi tumpuan pelancong seperti KLCC, Muzium Negara, KL Sentral, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka.
Abu yang sudah 7 tahun membawa teksi berkata, kemerosotan pendapatan menyebabkan beliau terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung perbelanjaan harian serta kos operasi teksinya.
“Jika dulu saya boleh dapat sehari lebih RM150 tetapi kini nak dapatkan RM100 sehari pun susah. Sekarang, sehari saya hanya boleh dapat sekitar RM80 dan selepas tolak sewa teksi dan minyak, berapa sahajalah yang tinggal. Itu pun sudah dikira bernasib baik.
“Kadang-kadang tepaksa keluar jam 4 pagi dan balik 12 malam untuk menyara kehidupan keluarga. Beban yang saya tanggung ini juga menyebabkan sewa teksi sudah 5 bulan tak bayar,” keluhnya lagi.
Semalam, Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd menyalahkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan gagal menjalankan promosi “mantap” bagi menarik pelancong ke negara ini sebagai punca pendapatan mereka merosot 40% pada musim perayaan tahun lalu.
Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, keadaan itu berbeza dengan tahun sebelumnya, di mana pendapatan pengusaha teksi meningkat ketika musim perayaan.
“Saya bagi contoh Tahun Baru Cina, macam tahun-tahun lepas sebelum 2016, ramai pelancong datang disebabkan cuti panjang. Saya rasa (promosi) pelancongan gagal,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi, Sridaran Sockalingam, 67, berkata lambakan perkhidmatan awam seperti MRT turut menjadi faktor.
Sridaran berkata, ramai pemandu teksi berhenti kerana tidak dapat menampung kos operasi mereka.
“Cabaran teksi masa ini bukan sahaja terpaksa bersaing dengan kenderaan Uber dan Grab tetapi juga perkhidmatan awam.
“Rakyat juga sudah miskin dan tiada wang naik teksi. Saya rasa dalam masa 1 atau 2 tahun lagi, perkhidmatan teksi akan mati,” katanya yang sudah 5 tahun menjadi pemandu teksi.
Sridaran turut memberitahu, pendapatan puratanya hanya sekitar RM50 hingga RM100 sehari berbanding RM200.
“Itu belum ditolak sewa teksi RM55 sehari, duit minyak dan makan. Jika dulu RM200 boleh dapat di KL. Sekarang tidak lagi,” katanya.
Sementara itu, pemandu teksi, Sukor Abd Karim, 53, bersetuju dengan kenyataan Shamsubahrin yang menyalahkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerana gagal menjalankan promosi berkesan kepada pelancong.
“Kerajaan kurang promosi. Ia menyebabkan pelancong asing kurang menggunakan perkhidmatan teksi. Mereka lebih senang memilih Uber dan Grab.
“Jika dulu kita dikenali dengan duta kecil negara, tetapi kini tidak lagi,” katanya.
Pengusaha teksi dakwa promosi tak ‘mantap’ punca rezeki turun 40%