Malaysia digesa berusaha bawa pulang 2 tahanan Guantanamo

Malaysia digesa berusaha bawa pulang 2 tahanan Guantanamo

Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep ditahan lebih 10 tahun tanpa bicara.

camp-delta
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan tempatan yang menentang penggunaan seksaan ke atas tahanan menggesa Malaysia berusaha membawa pulang 2 warga Malaysia yang ditahan tanpa bicara lebih 10 tahun di pusat tahanan Teluk Guantanamo.

Kumpulan Rakyat Malaysia Bantah Hukuman Bunuh dan Seksaan (Madpet) berkata Mohd Farik Amin @ Yazid Zubair dan Mohammed Nazir Lep @ Bashir Lap, yang dituduh sebagai dalang serangan bom 2003 ke atas Hotel JW Marriott di Jakarta, perlu diberikan peluang membuktikan diri mereka tidak bersalah menerusi perbicaraan mahkamah, atau dibebaskan.

Teluk Guantanamo dijadikan pusat penempatan tahanan mewakili beberapa negara yang dituduh Washington sebagai terlibat dalam serangan keganasan, dan tidak terikat dengan undang-undang Amerika Syarikat disebabkan ia terletak di Cuba.

Ia diselubungi kontroversi berikutan pendedahan tahanan diseksa. Presiden Barack Obama berjanji menutup pusat tahanan itu, tetapi sehingga kini ia masih dibuka walaupun hanya beberapa hari Obama akan melepaskan jawatannya.

Sebelum ini, dilaporkan Farik dan Nazir bukan antara kira-kira 20 orang tahanan Guantanamo yang bakal dipindahkan ke penjara AS menjelang hari terakhir Obama pada 20 Januari.

Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata kedua-dua mereka berbahaya, dan memberi amaran pasangan itu boleh mengulangi aktiviti keganasan mereka sekiranya dibebaskan.

“Adakah pendirian polis Malaysia ini berdasarkan siasatan mereka sendiri atau penerimaan apa yang diberitahu kepada mereka oleh pihak berkuasa AS?” soal pengerusi Madpet, Charles Hector dalam kenyataannya.

Beliau mempertikaikan sama ada wujud usaha kerajaan Indonesia membawa mereka ke muka pengadilan atas tuduhan terlibat dalam serangan bom di Jakarta.

Charles berkata kerajaan Malaysia juga perlu memperjelaskan tuduhan ke atas mereka, dan sekiranya tidak ada bukti, mereka perlu dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.