
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kepada FMT hari ini yang beliau tidak mahu lagi memberi komen lanjut berhubung isu tarikh soal siasat Lim pada malam sambutan Tahun Baru Cina itu.
“Tak payahlah saya komen lagi. Biarlah CM Lim ‘enjoy’ Tahun Baru Cina puas-puas dan lepas itu kita akan hubungi dia semula untuk tarikh yang dia ada kelapangan.
“Saya mengucapkan Kong Hee Fatt Choy kepada YAB LGE,” katanya menerusi Whatsapp kepada FMT. Beliau menggunakan singkatan itu sebagai “Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng”, merujuk kepada gelaran rasmi ketua menteri.
Khalid sebelum itu diminta mengulas kenyataan Lim awal hari ini yang berkata polis sepatutnya memohon maaf dan memberikan tarikh baharu, tanpa perlu beliau membuat permintaan itu.
Semalam, Lim mengkritik polis selepas pegawai penyiasat dalam kes hasutannya memaklumkan polis mahu merekodkan kenyataannya pada 27 Januari, iaitu malam Tahun Baru Cina – hari penting untuk masyarakat Cina yang meraikan acara makan besar bersama keluarga.
Lim berkata mustahil polis tersilap pandang kalendar kerana Malaysia sebagai rakyat pelbagai kaum tahu tarikh itu sehari sebelum Tahun Baru Cina, iaitu hari cuti umum.
Katanya, polis sepatutnya lebih sensitif dan menghormati perayaan itu.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berkata polis bersikap “tidak bertimbang rasa” kerana menetapkan jadual soal siasat itu pada malam Tahun Baharu Cina, kata
Sementara Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng pula berkata tidak perlu untuk Lim mempolitikkan isu itu kerana jika tarikh dan masa tidak sesuai, beliau boleh mohon untuk tarikhnya ditukar.
Lim pada mulanya disoal siasat pada 13 Januari lepas selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, termasuk oleh seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan kakak remaja itu yang berusia 20 tahun.
Menurut laporan polis yang dilihat FMT, remaja tingkatan 1 dari Ampang, Selangor itu membuat laporan polis kerana dia merasakan kenyataan Lim menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), yang digerakkan PAS di Dewan Rakyat.