
“Saya tertanya siapalah yang ajukan idea itu. Saya rasa ini semua cuma spekulasi. Sebelum pilihan raya memang selalu ada khabar angin.
“Saya bagaimanapun di Pulau Pinang untuk cuti tahun baru. Parti yang menentukan peletakan calon,” katanya ketika dihubungi.
Ketua Parlimen DAP, yang pada pilihan raya umum lalu bertanding di Gelang Patah, Johor menewaskan bekas menteri besar Datuk Ghani Osman, dianggap kerap tampil sejak tahun baharu, dan sudah mengadakan hampir 10 sidang media setakat ini.
Lim melancarkan siri pertama “Jelajah Desa Bersama Kit Siang”, bermula di Kampung Tok Suboh, Bukit Mertajam, Sabtu lepas.
Keesokan harinya, beliau menjelajah Kampung Sungai Gelugor, di mana selepas pertemuan bersama penduduk, beliau mengisytiharkan kesudian bekerjasama sekali lagi dengan PAS untuk menumbangkan Barisan Nasional.
Lim, 75, bukan asing dalam politik Pulau Pinang, dan pernah dipilih Adun Kampung Kolam (1986), Padang Kota (1990), Tanjung Bunga (1995) dan Kebun Bunga (1999).
Kali terakhir beliau mewakili kerusi Parlimen di Pulau Pinang ialah 1999, selepas menang tipis melawan calon Gerakan di Bukit Bendera. Beliau kemudian berpindah ke Ipoh Timur, sebelum bertanding di Gelang Patah.
Beliau paling lama berkhidmat sebagai ahli Parlimen Tanjong di Pulau Pinang selama 13 tahun dan terkenal mengetuai kempen DAP “Tanjong” bagi menawan negeri itu.