Nurul Izzah tidak boleh cabar inkuiri persempadanan semula

Nurul Izzah tidak boleh cabar inkuiri persempadanan semula

Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan kebenaran bagi permohonan semakan semula kehakiman yang didapatkan Nurul Izzah dan 10 pengundi berdaftar dari Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lalu.

izzah
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi berdaftar di kawasan pilihan raya itu tidak boleh mencabar inkuiri tempatan berhubung persempadanan semula yang dicadangkan bagi kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan kebenaran bagi permohonan semakan semula kehakiman yang didapatkan Nurul Izzah dan 10 yang lain itu dari Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lalu.

Panel 3 hakim diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan peguam negara dan berpendapat ada merit dalam rayuan itu.

Hakim Umi Kalthum yang membuat keputusan rayuan bersama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim kemudian mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran itu kepada Nurul Izzah dan 10 yang lain.

Dengan keputusan ini, Mahkamah Tinggi tidak boleh mendengar merit tentang permohonan semakan kehakiman yang dijadualkan pada 15 Februari ini.

Terdahulu, Umi Kalthum menolak bantahan awal dikemukakan Nurul Izzah terhadap rayuan peguam negara. Panel itu kemudian mendengar hujah tentang merit rayuan itu.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Nurul Izzah dan 10 pengundi berdaftar, sementara Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh bertindak bagi pihak peguam negara.

Nurul Izzah dan 10 pengundi itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 11 November tahun lalu.

Pada 3 Januari lalu, mereka mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan semakan kehakiman.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, peguam negara memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

 

Peguam negara rayu keputusan sempadan semula kawasan Lembah Pantai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.