
Awal hari ini, dilaporkan sebuah kereta merempuh sekumpulan 16 remaja yang sedang berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, dengan 6 mangsa maut di tempat kejadian. Dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah.
Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai dan timbalan menteri dalam negeri berkata kemalangan itu “menyedihkan tetapi tidak tragik”.
“Sebagai ahli Parlimen untuk kawasan itu, saya ucap takziah kepada keluarga mangsa. Kumpulan itu membabitkan budak dari kawasan yang jauh dari tempat kemalangan dan di luar Pulai,” katanya kepada FMT.
Nur Jazlan berkata remaja seperti itu tidak sepatutnya melepak di sekitar jalan utama di Johor Bahru pada waktu tengah malam dan semua mangsa dipercayai berada di pusat bandar ketika itu, untuk berlumba.
Katanya, perlumbaan seperti itu berlaku sejak lebih 10 tahun lalu dan polis mengambil tindakan secara berkala.
“Tetapi ia membazir sumber penguat kuasa polis untuk menangani budak-budak ini.
“Mereka yang maut adalah generasi remaja bermasalah yang mengancam kenderaan di jalanan terutama pada waktu malam,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pelaksanaan perintah berkurung yang dibenarkan oleh kerajaan negeri dapat membantu penguatkuasaan polis dan mengelak pelajar sekolah melepak di jalanan pada waktu malam.
Nur Jazlan berkata ibu bapa perlu bertanggungjawab untuk mengetahui di mana anak masing-masing berada dan tidak membenarkan mereka berada di luar, sedangkan pada waktu seperti itu, mereka sepatutnya tidur di rumah.
Awal hari ini, polis berkata semua mangsa ialah sebahagian daripada sekumpulan 30 hingga 40 remaja, berumur antara 13 dan 17 tahun, yang keluar berbasikal.
Dipercayai remaja terbabit menghalang beberapa jalan sebelum dirempuh kereta berkenaan di Jalan Lingkaran Dalam.
Polis berkata pemandu kereta berusia 22 tahun yang merempuh remaja terbabit, tidak berada dalam keadaan mabuk atau memandu laju.