MB dulu angkuh, ikut telunjuk kerajaan pusat, kata Sultan Johor
Sebelum Khaled Nordin, 2 tokoh yang pernah memimpin pentadbiran Johor adalah Ghani Othman dan Muhyiddin Yassin yang kini menjadi pembangkang.
PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menegaskan kemajuan dan pembangunan yang dinikmati negeri itu berbanding sebelum ini adalah hasil hubungan baik beliau dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Kalau dulu kerajaan negeri sampai tiada wang untuk bayar gaji kakitangan, tapi hari ini kerajaan ada lebihan hasil berbilion ringgit.
“Kejayaan yang dicapai ini kerana adanya hubungan baik saya dengan menteri besar sekarang, bukan seperti 2 menteri besar dahulu yang angkuh, sombong dan hanya mengikut telunjuk kerajaan persekutuan,” kata Sultan Ibrahim dalam ucapannya sempena perasmian Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar, Johor.
Dua menteri besar yang mentadbir Johor sebelum ini adalah Tan Sri Abdul Ghani Othman (1995-2013) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (1986-1995) yang kini memimpin parti pembangkang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Mengulas lanjut tentang hubungan persekutuan dan negeri, Sultan Johor berpesan kepada pemimpin persekutuan agar tidak lupa dengan hak dan peranan dimainkan negeri.
“Dasar pemimpin dulu yang gila kuasa, seperti memberikan desakan dan pelbagai syarat kepada kerajaan negeri jika mahukan peruntukan kewangan hendaklah dikaji semula,” katanya.
Sultan Ibrahim turut menempelak “menteri persekutuan yang kurang bijak” yang mahu menjadikan kawasan negeri sebagai wilayah persekutuan.
“Pemimpin berfikiran sempit seperti inilah yang akan meretakkan hubungan antara negeri dan persekutuan, dan menimbulkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Baginda merujuk cadangan Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menukar status Pulau Pinang, Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Tioman kepada Wilayah Persekutuan.
Cadangan tersebut dikecam pelbagai pihak, antaranya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal” dan bersifat hasutan.
‘Cadangan Ku Nan tanda BN hilang undi bukan Melayu’
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram