SPRM tidak siasat dakwaan PAS terima RM90 juta, kata menteri

SPRM tidak siasat dakwaan PAS terima RM90 juta, kata menteri

Paul Low berkata, maklumat yang diterima SPRM berhubung dakwaan itu tidak jelas dan tidak memerlukan siasatan.

Paul-Low
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan meneruskan siasatan terhadap dakwaan PAS menerima RM90 juta, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ini kerana, kata Datuk Paul Low, maklumat yang diterima SPRM berhubung dakwaan itu tidak jelas.

“Daripada penelitian Jawatankuasa Menilai Maklumat SPRM, didapati maklumat yang diterima tidak jelas dan tiada unsur yang membolehkan siasatan dibuat terhadap PAS,” katanya dalam jawapan bertulis pada 9 Mac lalu.

Beliau menjawab soalan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) sama ada SPRM atau polis akan menyiasat dakwaan Sarawak Report yang PAS menerima RM90 juta daripada “pihak tertentu” dan status siasatan itu.

Low berkata, pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan itu dialu-alukan membuat laporan kepada SPRM.

Harakah Daily pada 11 Mac lalu melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai berkata, Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) sudah meneliti perkara itu dan akan memulakan saman terhadap pihak yang membuat tuduhan itu.

Isu itu bermula apabila Sarawak Report pada Ogos lalu mendakwa wujud “spekulasi meluas” yang PAS menerima wang itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula mendakwa wang itu disalurkan menerusi Affin Bank.

PAS sebelum ini dilaporkan akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dan juga Husam yang kini bersama parti serpihannya, Amanah.

Dituduh terima RM90 juta, PAS akan saman Sarawak Report

Tuduhan RM90 juta kerana PAS masih pilihan profesional, kata Nik Abduh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.