RUU Hadi dan PPBM: DAP tunggu dan lihat

RUU Hadi dan PPBM: DAP tunggu dan lihat

Lim Kit Siang berkata partinya akan hanya memberi reaksi selepas PPBM mengambil pendirian yang jelas.

lim-kit-siat
SUBANG JAYA:
Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan membuat spekulasi mengenai masa depan ikatan partinya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti itu menyokong cadangan PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, turut dikenali sebagai Akta 355.

DAP akan membuat keputusan untuk bertindak hanya selepas situasi itu jelas, kata Lim ketika menjawab soalan peserta sesi teh tarik yang dihadirinya di sini, malam tadi.

“Tidak adil untuk mengambil kedudukan hipotetikal. Kita kena lihat dulu apa pendirian PPBM terhadap akta itu. Lepas itu kita lihat bagaimana reaksi kita.

“Tetapi kedudukan kita terhadap Akta 355 sangat jelas. Kami fikir ia bertentangan dengan perlembagaan, kami tidak fikir ia bagus untuk negara dan tidak ada perbincangan mendalam berhubung kesan daripada RUU itu,” katanya.

Beliau merujuk kepada rang undang-undang (RUU) dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda akta itu. PAS mencadangkan memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman lebih keras.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini mendakwa Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin secara prinsipnya bersetuju untuk menyokong cadangan pindaan itu.

Tetapi ketika sidang media pada Selasa, Muhyiddin menafikan dakwaan itu. Katanya, beliau beritahu Tuan Ibrahim PPBM tidak akan membuat apa-apa pendirian sebelum ia dibahaskan di Dewan Rakyat.

Pindaan itu jika diluluskan, akan membenarkan mahkamah syariah mengenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda sehingga RM100,000 dan sebatan maksimum 100 kali.

Pada masa ini, hukuman kesalahan jenayah ialah penjara maksimum 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.