Tak sakit, kata pemimpin PAS selepas menonton ‘live’ hukum sebat Aceh

Tak sakit, kata pemimpin PAS selepas menonton ‘live’ hukum sebat Aceh

Naib ketua Dewan Ulama PAS itu tiba dengan puluhan pelawat dari Malaysia untuk menyaksikan sendiri 12 pesalah syariah dihukum sebat atas kesalahan khalwat dan judi.

Senator-Datuk-Dr-Johari-Mat-hudud-aceh
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS minggu ini meluangkan masa mengunjungi sebuah masjid di Aceh bagi melihat sendiri hukuman sebat di khalayak ramai ke atas 12 orang yang didapati bersalah di bawah undang-undang syariah Aceh.

Portal berita Indonesia Kompas melaporkan Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Johari Mat, tiba dengan puluhan “pelancong” Malaysia lain di halaman Masjid Mukminin Gampong Teh di Banda Aceh, bagi menyaksikan sendiri hukuman itu dilakukan.

“Ini baru pertama kali saya menyaksikan langsung hukum sebat di Aceh. Selama ini hanya melihat melalui video yang dibawa oleh kawan ketika dia berkunjung ke Aceh beberapa waktu lalu,” katanya dipetik Kompas.

Mereka yang menjalani hukuman itu merupakan 12 lelaki dan wanita, berumur antara 20 dan 45 tahun, yang disabit kesalahan berkhalwat dan berjudi.

Sejak 2014, Aceh yang diberikan status wilayah khas oleh Jakarta menguatkuasakan undang-undang syariah di bawah Kanun Jenayah Aceh.

Johari, yang juga seorang senator PAS, mendakwa hukuman sebat yang disaksikannya itu tidak menyakitkan, tetapi untuk “menginsafkan”.

“Semoga kita yang melihat juga insaf dan orang yang menerima dapat keinsafan dan keampunan dari Allah,” katanya.

Hujah tersebut kerap digunakan penyokong undang-undang hukum hudud di kalangan kedua-dua pemimpin Umno dan PAS.

Baru-baru ini, PAS Kelantan yang mahu melaksanakan hukum hudud bercadang mengadakan demonstrasi hukum sebat bagi mendidik masyarakat Malaysia mengenai perbezaan cara sebatan itu dilakukan di bawah undang-undang Islam.

Penyokong hukum hudud mendakwa hukuman itu berbeza daripada hukum sebat di bawah undang-undang sivil yang lebih menyakitkan sehingga mendatangkan kecederaan.

Ia susulan usul yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk membenarkan pesalah syariah dijatuhkan hukuman lebih berat termasuk 100 kali sebatan.

Salah seorang penyokong kuat usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, semalam mempertahankan sebatan di bawah syariah dan mendakwa masyarakat keliru kerana kerap membaca laporan mengenai pelaksanaan syariah oleh kumpulan ekstrem di Afghanistan, Syria dan Iraq.

“Saya fikir sudah sampai masanya kita berikan ruang untuk masyarakat melihat dan padankan, bandingkan dengan hukuman sebatan mengikut sivil dan hukuman sebatan mengikut syariah,” kata Jamil di Dewan Rakyat semalam.

Jamil Khir: Sebat cara syariah pernah dilaksanakan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.