SPRM siasat resit palsu tuntut caj hotel

SPRM siasat resit palsu tuntut caj hotel

Amalan itu dipercayai dilakukan sejak 2014 oleh beberapa pegawai kastam dan polis di Negeri Sembilan.

sprm-hotel
SEREMBAN:
Sebelas pegawai polis dan kastam Negeri Sembilan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kes tuntutan palsu penginapan hotel.

Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai sering mengemukakan butiran penginapan palsu untuk sewa bilik hotel ketika diarahkan menjalankan tugas rasmi di Lembah Klang sedangkan mereka tidak pernah menginap di hotel berkenaan.

“Penjawat awam berkenaan mengemukakan resit sewa bilik yang dipercayai mengandungi butiran palsu bagi mengelirukan jabatan masing-masing.

“Tuntutan palsu berkenaan dipercayai telah menjadi amalan dalam beberapa jabatan kerajaan di negeri ini sejak 2014,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail ketika dihubungi
mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa penjawat awam daripada pelbagai agensi lain di negeri ini yang melakukan kesalahan sama bagi membantu siasatan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.