Kematian dalam tahanan: Khalid jamin tak lindungi polis terbabit

Kematian dalam tahanan: Khalid jamin tak lindungi polis terbabit

Ketua polis negara berkata, polis sudah mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak peguam negara berhubung kes Balamurugan yang mati dalam tahanan pada 8 Februari lalu.

khalid-jail
KUALA LUMPUR: Ketua polis negara memberi jaminan tidak akan melindungi sesiapa pun, termasuk anggotanya jika mereka didapati terbabit dalam kes kematian dalam tahanan S Balamurugan.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, buat masa ini, polis sudah mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes itu.

“Kita sebenarnya sudah pun selesaikan siasatan dan membuat beberapa cadangan kepada pihak peguam negara, jadi sabarlah.

“Saya sudah sebut kita tidak akan melindungi sesiapa sahaja, walaupun anggota kami jika kita mendapati ada pelanggaran mana-mana undang-undang salah laku dan sebagainya. Tunggulah,” katanya selepas menghadiri Majlis Bingkisan Persatuan Kasih Orang Kota Bharu PDRM di Dewan Perdana Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, malam tadi.

Khalid berkata, polis membuka 2 kertas siasatan berhubung kematian Balamurugan – satu di bawah kematian mengejut dan kedua di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan.

Balamurugan, 44, yang ditahan pada 6 Februari lalu, dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman keesokannya dan peguamnya menerusi laporan polis mendakwa Balamurugan dalam keadaan lemah, tidak boleh berjalan, selain cedera di muka, berdarah di hidung dan mulut serta muntah darah ketika di mahkamah.

Susulan itu, majistret menolak permohonan reman polis dan memerintahkan pegawai penyiasat membawa Balamurugan ke hospital dengan segera.

Bagaimanapun, peguamnya mendakwa Balamurugan tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dia ditemui mati di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 8 Februari lalu.

Laporan bedah siasat ke-2 yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian Balamurugan akibat penyakit arteri koronari dengan pelbagai kecederaan akibat hentakan tumpul.

Kenapa masih belum ada tangkapan kes Balamurugan, kata peguam

82 gambar bedah siasat bukti jelas punca kematian, kata peguam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.