
“…Dan ramai Orang Asli dan juga Suhakam telah menyeru supaya kajian semula yang komprehensif dijalankan ke atas Jakoa,” kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam laporan setebal kira-kira 300 muka surat itu.
“Dapat disimpulkan bahawa negara ini tidak bersedia untuk menangani dan menghentikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat terpinggir ini,” katanya.
Suhakam turut mendapati pelanggaran hak tanah adat milik Orang Asli semakin menjadi pada 2016, dan antara sebabnya ialah kegagalan melaksanakan syor suruhanjaya itu untuk melindungi masyarakat pribumi.
Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 80 aduan dibuat oleh Orang Asli tentang pencerobohan tanah adat yang berterusan.
Menurutnya, pencerobohan itu adalah bagi tujuan pembalakan, perlombongan dan pertanian, mengakibatkan pencemaran sungai dan penebangan hutan tidak terkawal.
Orang Asli turut berdepan kekurangan kemudahan asas termasuk elektrik dan bekalan air, dan isu-isu berkaitan pendidikan anak-anak Orang Asli.
Dipinggir
Suhakam dalam laporannya berkata, masyarakat Orang Asli tidak diwakili dengan secukupnya.
Antara punca pelanggaran hak Orang Asli ialah diskriminasi yang meluas dan sistematik terhadap mereka, peminggiran mereka dalam proses membuat keputusan, dan penglibatan dalam hal yang memberi kesan kepada mereka secara langsung.
“Kegagalan dalam melindungi hak-hak tanah orang asal oleh kerajaan juga membawa kepada insiden seperti kekecohan dan ugutan jenayah di sekatan-sekatan yang dibina oleh sekumpulan Orang Asli di laluan pembalakan di Gua Musang, Kelantan,” kata laporan itu, merujuk insiden di sebuah penempatan Orang Asli tahun lalu.
Dalam insiden itu, kekecohan tercetus apabila piha berkuasa bertindak keras menahan sekumpulan Orang Asli yang membuat sekatan selama beberapa laluan menghalang pembalak di Gua Musang di tanah adat mereka.
Suhakam berkata Orang Asli di Gua Musang melaporkan kekecewaan mereka kepada badan itu atas kegagalan kerajaan melaksanakan syor Inkuiri Nasional.
Pada 19 Julai 2013, kerajaan meluluskan penubuhan Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak tanah Orang Asal/Asli bagi meneliti syor yang dibentangkan Suhakam berhubung isu tanah masyarakat Orang Asli di negara ini
Menurut Razali, masih terdapat janji kerajaan mengenai hak tanah Orang Asli yang belum direalisasikan.
“Suhakam berpendapat bahawa kemajuan yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Kabinet Menangani Hak Tanah Orang Asal adalah mengecewakan kerana walaupun ada jaminan bahawa 17 daripada 18 syor oleh Suhakam dalam inkuiri nasional telah diterima oleh kerajaan, tiada satu pun yang telah dilaksanakan,” katanya.