DAP serpihan tahi PAP, kata Hadi

DAP serpihan tahi PAP, kata Hadi

Hadi turut mempersoalkan tindakan DAP yang menentang RUU355 namun bertindak untuk berunding dengan Amerika Syarikat.

awang-hadi-dap
PETALING JAYA: Selepas mencetuskan kemarahan beberapa pihak dengan perumpamaan “biawak hidup” terhadap musuh politiknya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata DAP merupakan “anak butir tahi” PAP, merujuk Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.

“Singapura ini bapa DAP, yang memerintah Singapura adalah PAP. Dulu Singapura dalam Malaysia, banyak cawangan PAP di Malaysia.

“Bila Singapura keluar dari Malaysia, PAP tukar jadi DAP. Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP,” kata Hadi berucap di Rusila, Terengganu.

“Ini mungkin bahasanya kasar sedikit,” tambahnya.

Permusuhan PAS dan DAP memuncak selepas Hadi membawa usul membentangkan rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, bagi membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

Dalam ucapannya semalam, Hadi turut mempersoalkan tindakan DAP yang mempertikaikan kerjasama antara PAS dan Umno.

“Kita berunding dengan Umno sahaja, sama-sama Melayu Islam. Adakah itu salah?” soal beliau.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang juga berunding dengan Amerika Syarikat.

“Berunding dengan negara asing tidak apa, bincang tentang politik Malaysia?

“Politik Malaysia, biarlah orang Malaysia sendiri yang buat perubahan, tidak perlu jemput Amerika Syarikat, tidak perlu jemput negara asing ke sini,” katanya.

“(Mereka) berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia. Kita (PAS) tidak sampai tangga (ke tahap) itu, nak suruh negara asing campur tangan negara kita.”

Hadi: Sertai BN pikul biawak hidup, Pakatan biawaknya lebih besar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.