Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Penjara 6 bulan, denda RM1,000 jika berpakaian jolok mata di Melaka

 | April 20, 2017

Rahimin Bani turut meminta masyarakat bukan Islam dan pelancong asing mematuhi etika berpakaian di tempat awam supaya tidak menjolok mata dan menjaga sensitiviti masyarakat sekeliling.

jaim_sexy_60021

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sedang menguatkuasakan undang-undang di bawah Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 bagi membendung perbuatan tidak sopan, terutama berpakaian tidak senonoh di tempat awam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Rahimin Bani berkata, langkah ke atas umat Islam itu selaras undang-undang Jaim sedia ada dan kempen menutup aurat serta etika berpakaian yang sudah lama dilaksanakan di negeri ini.

“Penting bagi kita terutama wanita Islam untuk menutup aurat bagi memelihara kehormatan mereka dan ia adalah sebahagian daripada hukum syarat yang wajib dipatuhi.

“Berpakaian sopan atau menutup aurat juga adalah bagi mengelak sebarang kejadian buruk menimpa mereka. Selain itu, kita tidak mahu insiden bogel yang berlaku di Bentong, Pahang awal tahun ini berulang walaupun ia melibatkan lelaki,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, umat Islam yang melakukan perbuatan, berkelakuan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam bertentangan hukum syarak boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 71 enakmen sama, iaitu didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Rahimin berkata, berdasarkan statistik, kes perbuatan tidak sopan, termasuk berpakaian tidak senonoh di Melaka menurun daripada 352 kes pada 2015 berbanding 195 kes tahun lepas.

Beliau berkata, penurunan berkenaan ekoran langkah peringatan dan kempen yang giat dijalankan Jaim dan pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berterusan, termasuk pemasangan papan peringatan berkaitan perbuatan tidak sopan dan etika berpakaian di tempat awam.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat bukan Islam juga diminta mematuhi etika berpakaian di tempat awam kerana ia turut tertakluk di bawah beberapa udang-undang, termasuk di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan yang menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.

“Papan tanda berkenaan turut menjadi peringatan kepada semua rakyat di negeri ini, termasuk pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Melaka agar bersama menjaga etika berpakaian supaya tidak menjolok mata dan menjaga sensitiviti masyarakat sekeliling,” katanya.

Selain itu, katanya, masyarakat bukan Islam juga diminta mematuhi etika berpakaian dan tidak melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam kerana ia tertakluk di bawah Rukun Negara ke-5, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan agar masyarakat berbilang kaum dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments