Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Sasterawan tolak alasan Asri puisinya mengenai Modi

 | April 24, 2017

Ada 2 waktu sesuai mufti Perlis itu boleh memuat naik puisinya sekiranya benar mahu membela umat Islam yang 'dizalimi' kerajaan India pimpinan Narendra Modi, kata seorang akademik dan aktivis kesenian Melayu.

Dr-Mohd-Faizal-Musa-asriPETALING JAYA: Alasan Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang “puisi pagi Jumaat” beliau adalah mengenai dasar kerajaan India berkaitan penyembelihan lembu hanya boleh diterima sekiranya ia dimuat naik pada masa dan konteks yang sesuai, dan bukannya ketika kontroversi menyelubungi pendakwah India, Dr Zakir Naik, kata seorang akademik dan pakar kesusasteraan Melayu.

“Beliau (Asri) boleh, wajar dan akan nampak jaguh jikalau melakukan kritikan tersebut ketika pimpinan negara kita berada di India, yang menurut Asri dalam ‘puisi’ beliau, ‘kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati’,” kata Dr Mohd Faizal Musa, Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, kepada FMT.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan lawatan rasmi ke India dan mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya Narendra Modi.

Faizal, yang lebih terkenal dengan nama pena Faisal Tehrani dan pernah menerima Anugerah Seni Negara, mengulas hujah mufti Perlis yang mempertahankan beberapa baris puisi di Facebook beliau Jumaat lalu.

Puisi itu antara lain menyerang golongan yang “mempertuhankan lembu” dan mengamalkan sistem kasta, sambil mempertahankan “pendakwah kita”, tanpa menyebut nama.

Ia di sebalik bantahan beberapa pemimpin dan aktivis masyarakat Hindu di Malaysia terhadap dasar Putrajaya cuba memberi perlindungan kepada Zakir, pendakwah yang dikehendaki pihak berkuasa India dalam siasatan pengubahan wang haram di samping tuduhan mempromosi kebencian agama.

Zakir yang kerap mengadakan siri ceramahnya di negara ini mencetuskan kemarahan beberapa pihak termasuk kumpulan Hindraf, yang mendakwa beliau mengkritik kepercayaan agama Hindu.

Puisi Asri jelas kebencian

Puisi Asri sudah dibuang daripada Facebook sejak semalam, susulan pelbagai kecaman dan beberapa laporan polis terhadap mufti Perlis itu, antara tokoh paling lantang mempertahankan Zakir.

Bagaimanapun, beliau kekal mempertahankan alasannya yang puisi itu tidak ada kena-mengena dengan isu Zakir, sebaliknya mengenai dasar kerajaan pimpinan Modi yang menurutnya menzalimi umat Islam kerana menyembelih lembu, binatang yang dianggap suci bagi penganut majoriti Hindu di India.

Faizal berkata alasan itu tidak boleh diterima, sambil memetik sebuah dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan 2013, yang antara lain memberikan panduan bagaimana sesuatu kenyataan itu boleh dianggap sebagai menyemai kebencian agama dan kaum.

Di bawah Pelan Tindakan Rabat 2013 dikeluarkan PBB, sesuatu ucapan harus dilihat konteks sosial dan politiknya, bertepatan dengan waktu ia dilakukan dan disebarkan, bagi menilai sama ada ia berniat menyemai kebencian.

Faizal membandingkan “puisi” Asri dengan kritikan pakar perlembagaan Daruk Dr Shad Saleem Faruqi, juga berkenaan hal sama dan dilapor media, tetapi tidak mengundang kecaman.

Beliau merujuk kenyataan Faruqi dalam forum di Universiti Malaya pada Mei 2015, tentang penggunaan agama oleh parti pimpinan Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP), dan bagaimana pertumpahan darah boleh tercetus hanya apabila kepala lembu diletakkan di kuil atau kepala babi di masjid.

“Tetapi beliau tidak dikecam oleh orang ramai terutama masyarakat Hindu di sini selepas menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Ini kerana kenyataan itu kena pada konteksnya,” katanya.

Menurut Faizal, puisi Asri tidak memenuhi syarat tersebut.

Tambahnya, selain lawatan Najib ke India, puisi Asri, sekiranya benar menyasarkan Modi dan bukan penganut Hindu, lebih sesuai dimuat naik ketika pemimpin India itu melawat Malaysia pada 2015 bagi upacara perasmian Gerbang Torana di Little India, Brickfields.

“Asri mempunyai dua kesempatan yang dinyatakan di atas untuk mengkritik Modi di ‘masa’, atau menurut Pelan Tindakan Rabat 2013, sebagai ‘konteks’ yang tepat dan munasabah,” Faizal memberitahu FMT.

“Jika ia dilakukan dalam tempoh waktu itu, Pelan Tindakan Rabat 2013 anjuran PBB menafsirkan ia sebagai ‘kebebasan bersuara’, yakni satu kritikan daripada seorang individu. Ia wajar dihormati dan bukan dikecam.”

Sebaliknya, Faizal berkata puisi Asri itu jelas di luar “masa yang berkenaan”.

“Maka jika dinilai dan dianalisis perihal konteks yang menjadi aspek pertama Pelan Tindakan Rabat 2013, adalah jelas kita boleh mencadangkan ‘puisi Jumaat’ tulisan Asri ini sebagai ‘kebencian secara kolektif’ dan bukan merupakan satu kebebasan bersuara yang dibenarkan,” katanya.

 

Puisi saya kecam PM India bukan komuniti Hindu Malaysia, kata Asri

Asri bidas penyembah ‘lembu’ yang halang ‘pendakwah kita’

Asri, puisi Jumaat dan kebencian kolektif


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments