
Mereka yang dipetik The Star berkata, ketika melawat Muhammad Resan Abdullah, mereka mendapati beliau lemah dan badannya mempunyai kesan lebam hanya selepas beberapa minggu dimasukkan ke sekolah di Klang itu.
Suraya Fatima Abdullah berkata, anaknya sudah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang selama 2 minggu.
Laporan perubatannya menunjukkan kanak-kanak itu lebam di belakang badan dan dada, serta mengalami sembelit teruk disebabkan pengambilan serat dan air tidak mencukupi.
Apabila ditanya apa yang berlaku, Resan mendakwa seorang ustaz di sekolah berasrama penuhnya mendera beliau. Ustaz itu juga didakwa mengugut akan menghukumnya lagi jika beliau mengadu kepada ibu bapanya.
“Beliau juga kata otak saya tidak akan mampu menghafal al-Quran, jika mengadu tentang seorang ustaz,” kata Resan dipetik akhbar itu.
Suraya berkata, beliau pada mulanya menyangka kes Resan ialah kes terpencil, tetapi mengubah fikirannya selepas membaca laporan mengenai Thaqif.
Thaqif, 11, meninggal dunia pada Rabu lalu, seminggu selepas beliau dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru bagi kecederaan di kaki yang didakwa akibat dirotan pembantu warden asrama di sekolah tahfiznya.
Beliau sebelum itu terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong 2 kakinya bagi menghentikan jangkitan kuman daripada merebak.
Beliau turut dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan memotong tangan kanannya, tetapi ia terpaksa ditangguhkan disebabkan jantungnya tidak stabil. Beliau meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Seorang pembantu warden asrama di sekolah tahfiznya didakwa memukul pelajar berusia 11 tahun itu dengan paip getah sehingga menyebabkan kakinya cedera.
Bekas banduan berusia 29 tahun itu pernah menjalani hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah mencuri dan remannya kini disambung sehingga esok untuk membantu siasatan kes itu.
Sementara itu, The Star melaporkan ustaz dalam kes Resan sudah didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. Ibu bapa Resan mahu peguam mereka mengkaji semula kes itu susulan kematian Thaqif.