Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Muktamar berakhir dengan amaran Hadi, harapan 1 lawan 1 hancur

 | May 1, 2017

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi laluan kepada pindaan akta mahkamah syariah.

hadi-muktamar--3

ALOR SETAR: Muktamar ke-63 berakhir hari ini dengan amaran keras Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada semua wakil rakyat supaya jangan “mempermainkan” Islam.

Beliau juga menghancurkan semua harapan pertandingan 1 lawan 1 antara parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN) dengan mengetepikan parti komponen Pakatan Harapan (PH), mengatakan mereka kecil berbanding PAS, dengan kawasan dan cawangan yang terlalu sedikit.

Hadi dalam ucapan penggulungannya juga menyerang mereka yang menggunakan PAS untuk agenda tersendiri.

“Dahulu mereka kata boleh ‘agree to disagree’, tetapi rupanya nak memperalatkan kita untuk agenda mereka. Mana mungkin kita boleh ‘agree’ untuk orang menentang Islam?”

Hadi juga menyeru Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia (JPPM) untuk menjalankan kajian melihat sama ada parti politik di negara ini mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Islam sebagai agama persekutuan mereka hormat atau tidak? Raja sebagai ketua kerajaan mereka hormat atau tidak? Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mereka hormat atau tidak? Hak istimewa Bumiputera yang perlu dihormati mengikut perlembagaan mereka hormat atau tidak?”

Dalam amarannya kepada semua wakil rakyat – yang mengangkat ikrar menegakkan Islam sebagai agama persekutuan – Hadi berkata PAS akan meneruskan agenda memartabatkan Islam, termasuk mendesak pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Mengenai pindaan itu, Hadi berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan laluan kepada PAS membentangkan usul dan berkata mereka tidak akan melupakan kerjasama itu.

Pada sidang media kemudiannya, Hadi menegaskan PAS tidak mahu digunakan sebagai batu loncatan kepada mana-mana parti atau individu, bahkan di dalam partinya, individu seperti itu sudah dipecat atau meninggalkan parti atas kehendak sendiri.

Ketika ditanya adakah penghargaan kepada kerajaan bererti PAS terbuka kepada kerjasama dengan Barisan Nasional, Hadi berkata PAS secara konsisten sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam soal kebajikan rakyat dan akan menentang mana-mana pihak dalam perkara yang bertentangan dengan Islam.

“Contohnya, Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 kita bangkang kerana tidak sesuai dengan realiti masyarakat di Malaysia.”

Ketika ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan Pakatan Harapan bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan Barisan Nasional, Hadi berkata perkara itu tidak berbangkit kerana PAS mempunyai asas yang kukuh.

“Kita tidak boleh berbincang atas angin. Kita bukan berniaga atas angin. Kita ada 165 kawasan, kita ada 7,000 cawangan.

“Mereka tidak ada kawasan, tidak ada cawangan. Jadi kita tubuhkan Gagasan Sejahtera,” katanya, merujuk kepada “blok ketiga” yang mereka bentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Mutakhir ini, pimpinan Pakatan Harapan, terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, menggesa PAS supaya berganding dengan pakatan pembangkang itu bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, kerana percaya pertandingan pelbagai penjuru hanya beri kelebihan kepada pakatan pemerintah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments