Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PAS-Umno mungkin ‘sepakat’ tak lawan di kerusi sama?

 | May 16, 2017

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, PAS mahu orang Cina menyokong mereka berdasarkan kebaikan parti itu, bukannya kerana pemberian wang.

Hashim-Jasin

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, parti itu mungkin mencapai “kata sepakat” dengan Umno untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang dipetik Oriental Daily berkata, ini bermakna PAS tidak akan bertanding di kerusi Umno, manakala Umno juga akan memberi laluan kepada parti Islam di kerusi mereka.

Katanya, 3 kemungkinan akan berlaku pada PRU14, iaitu PAS berjuang bersendirian, ke-2 bergabung dengan parti lain.

“Satu lagi kemungkinan ialah PAS tidak menyertai BN, tiada kerjasama dengan Umno, tetapi mungkin mencapai ‘konsensus’ dengan Umno di sesetengah kerusi.

“Maksud saya ada kemungkinan ini kerana persekitaran politik dalam negara sentiasa berubah dan PAS akan mengikut cara terbaik, dengan syarat tidak membelakangkan ajaran Islam,” katanya kepada akhbar itu.

Muktamar PAS pada 30 April lepas sebulat suara meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR. Keputusan itu kemudiannya dimuktamadkan Majlis Syura Ulama PAS pada Khamis lepas.

Susulan itu, PAS akan menentukan status 3 exconya di kerajaan negeri Selangor pada mesyuarat Khamis ini.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, PAS tidak sama dengan parti lain kerana selagi apa yang dilakukan mereka ialah misi Islam, mereka tidak akan rugi, tidak kira apa jua keputusannya.

“Dalam Islam, walaupun kami kalah, kami masih untung. Kalau kata kami menang, itu maknanya untung 2 kali ganda. Seseorang yang tidak pernah rugi, sentiasa menang, dia tidak akan kalah.”

Ditanya kenapa pucuk pimpinan PAS kini dilihat berbaik-baik dengan Umno, sedangkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengelar Umno kafir.

Hashim mempertahankan presidennya dengan berkata, kafir yang dimaksudkan Hadi sebenarnya merujuk dasar Umno, bukan pemimpinnya.

“Dalam Islam, kitab kami mengajar pelaksanaan hukum hudud, tetapi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memimpin Umno, enggan melaksanakannya, orang Umno pun ikut berbuat demikian.

“Sekarang, orang nampak PAS sudah ubah dasar, mula matang politik, kami cuba bermusuhan dengan dasar Umno, tetapi bukan dengan ahlinya.”

Sebelum ini, parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan beberapa sekutu BN di Sabah dan Sarawak dilihat tidak senang dengan hubungan mesra Umno dengan PAS, terutama dalam menyokong rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Hadi.

PAS dan Umno sejak kebelakangan ini berkongsi pentas dalam beberapa isu sejagat, termasuk dalam membantu etnik Rohingya akhir tahun lalu.

Dalam pada itu, Hashim berkata, PAS dan BN berusaha meraih sokongan kaum Cina menggunakan cara berbeza.

“Cara BN ialah menawarkan bantuan kewangan, cara PAS pula ialah biar orang Cina nilai sendiri apa yang kami sudah lakukan. Dasar kami jika menguntungkan mereka, mereka akan sokong PAS.”

Akhbar itu memetik beliau sebagai berkata, PAS mahu orang Cina menyokong mereka berdasarkan kebaikan parti itu, bukannya kerana pemberian wang.

Bekas pesuruhjaya PAS Perlis itu berkata, ramai orang bukan Islam salah faham tentang Islam akibat tindak-tanduk umat Islam itu sendiri, contohnya Umno menakut-nakutkan orang bukan Islam.

“Bekas mursyidul am PAS, Nik Aziz (Nik Mat) pernah mencadangkan kanun jenayah syariah, walaupun penjelasan diberikan, tetapi pemimpin Umno ketika itu, Dr Mahathir menggunakannya untuk menakutkan orang bukan Islam.”

Katanya, kanun jenayah syariah boleh menyelesaikan masalah sosial dan apabila tiada lagi kecurian, rakyat boleh tidur dengan nyenyak.

“PAS mahu membuktikan penggunaan Islam untuk menyelesaikan masalah lebih baik daripada cara penyelesaian sekarang. RUU 355 tidak membabitkan orang bukan Islam, kenapa perlu takut?

“Lagipun RUU 355 sebahagian daripada kanun jenayah syariah, (selepas dilaksanakan) akan nampak hasilnya. Kami rasa ia memerlukan masa panjang (untuk rakyat menerimanya), kami bangkitkannya bukan untuk menghadapi PRU14.”

Katanya, jika Malaysia melaksanakan kanun jenayah syariah, PAS memberi jaminan keadaan negara lebih baik daripada sekarang.

“Mana-mana agama mengajar umatnya berbuat baik, mengotakan janji, berkawan dengan orang berlainan kaum.

“Kami boleh berjanji dengan satu sama lain, hubungan menjadi lebih rapat dan tidak akan wujud masalah perkauman,” katanya sambil menceritakan pengalamannya yang membuktikan kepercayaan antara rakyat berbeza agama masih wujud.

“Dahulu, PAS perlu membaiki bangunan ketika pilihan raya. Tetapi, disebabkan tidak dapat mengeluarkan wang dengan banyak, peniaga bukan Islam percaya kami dan membenarkan kami mengambil barang dahulu dan membayar kemudian.

“Bos itu kata dia percaya saya kerana orang PAS tidak akan bohong.”

Hubungan PAS-PKR tamat serta merta, kata Majlis Syura


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments