
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memandang serius perkara berkenaan kerana polis sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan, bukannya melakukan jenayah.
“Semalam dilaporkan seramai 16 pegawai dan anggota ditahan. Saya tidak akan berkompromi kerana harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan perayaan Hari Guru peringkat Kebangsaan kali ke-46 di Kompleks Sukan Educity hari ini.
Semalam, PDRM mengumumkan bakal melakukan rombakan besar-besaran terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, susulan tangkapan 16 anggota, termasuk pegawai kanan jabatan itu yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tindakan tersebut menunjukkan keseriusan polis dalam memastikan tiada dalam kalangan pegawai dan anggotanya yang terlibat dan bersekongkol dengan kegiatan jenayah bersindiket.
Zahid berkata, tindakan tidak bertanggungjawab anggota dan pegawai polis seumpama itu dikhuatiri menyebabkan gejala negatif mudah menyerap ke sekolah.
Beliau berkata, selain pengedaran dadah di sekolah, jenayah lain seperti gengsterisme dan kongsi gelap di sekolah juga dikhuatiri berleluasa.
“Bagaimana kongsi gelap boleh masuk ke sekolah? Bagaimana pengedar dadah boleh memberikan ‘gula-gula’?
“Adakah sistem sekolah kita salah? Adakah sistem geopolitik kita salah, perlu diperbaiki? Semua pihak harus bertanggungjawab, sekolah tidak patut dipersalahkan. Sistem sekolah tidak patut dipersalahkan. Ibu bapa pelajar tidak patut dipersalahkan,” katanya.
Sehubungan itu, Zahid meminta semua pihak tidak menuding jari mencari kesalahan orang lain, sebaliknya bersama bertanggungjawab memperbetulkan keadaan.
Beliau yang juga pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah meminta semua sekolah bermula daripada prasekolah sehingga sekolah menengah supaya menubuhkan Kelab Cegah Jenayah masing-masing.
Menurut Zahid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga diminta memainkan peranan dalam melaksanakan penubuhan kelab berkenaan kerana melalui usaha itu, ia dapat mencegah jenayah di kalangan murid di peringkat awal.